BERITA UTAMA

KDN teliti semula undang-undang atasi kemalangan motosikal

Kepala Batas: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti termasuk melihat semula peruntukan undang-undang sedia ada yang diguna pakai dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau menyambut baik intipati pertemuan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan berhubung kebimbangan kemalangan motosikal.

Katanya, selain melihat peruntukan undang-undang yang digunakan pada ketika ini, KDN turut akan memperkasakan kempen keselamatan jalan raya disamping meningkatkan aspek penguatkuasaan.

“Kita menyambut baik pandangan aktivis Tan Sri Lee Lam Thye yang bertemu Perdana Menteri membincangkan soal ini (kadar kemalangan tinggi membabitkan penunggang motosikal) yang saya sendiri juga pernah bertemu beliau bukan saja soal keselamatan jalan raya tetapi membincangkan isu-isu kepolisian.

“Jadi, dalam hal ini KDN akan melihat kembali semua peruntukan undang-undang yang selama ini kita guna pakai.

“Dalam pada itu, kita juga akan tingkatkan aspek penguatkuasaan antaranya pengeluaran saman dan kempen keselamatan jalan raya dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai,” katanya ketika diminta mengulas langkah KDN dalam mengatasi jumlah kemalangan motosikal yang semakin tinggi di negara ini sehingga ia disuarakan Perdana Menteri

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan rekod anggaran keseluruhan saman yang dikeluarkan setakat ini mencecah nilai kompaun berjumlah RM2.18 bilion.

“Sekiranya nilai saman ini dijadikan indikator, ia membuktikan jumlah saman yang dikeluarkan memang tinggi, tetapi pada masa yang sama, kadar kemalangan motosikal juga bertambah.

“Oleh itu, kita akan pertingkatkan kempen keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, akademik dan komuniti,” katanya.

Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Menerusi hantaran di laman Facebook (FB) Perdana Menteri dilaporkan berkata, kebimbangan sama turut dizahirkan oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *