KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan berita diterbitkan mengenai wujud rancangan pertukaran beberapa kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh sebuah portal berita tempatan hari ini, adalah tidak benar.
“Kita ingin menegaskan bahawa PDRM tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.
“PDRM telah menghubungi pihak portal yang berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita tersebut,” katanya dipetik BHNews dalam kenyataan, hari ini.
Razarudin berkata, siasatan juga akan dijalankan sekiranya ada keperluan menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, katanya beliau menasihatkan kepada semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi terutama membabitkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
Terdahulu, portal itu yang memetik sumber itu melaporkan, antara pegawai tertinggi yang terbabit dalam rancangan perpindahan keluar adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Portal itu melaporkan Ayob Khan mungkin akan mengetuai sama ada Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikatakan mungkin akan ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah.
Sementara itu, Ayob Khan ketika dihubungi BH berkaitan perkara itu, hari ini enggan membuat sebarang ulasan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252