BERITA UTAMA
45 penduduk Ketereh sertai kursus asas anggota bantuan pertahanan awam komuniti

45 penduduk Ketereh sertai kursus asas anggota bantuan pertahanan awam komuniti

KOTA BHARU – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ketereh, dengan kerjasama Persatuan Komuniti Kedai Melor dan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Bharu menganjurkan Kursus Asas Anggota Bantuan Pertahanan Awam Komuniti kepada penduduk tempatan yang berminat membantu ketika bencana.

Kursus sehari itu diadakan di Medan Ilmu, Dataran Pasar Melor hari ini dari jam 8 pagi hingga 3 petang dan disertai 45 penduduk kampung serta peniaga sekitar Pekan Melor.

Sebanyak tiga modul penting dijadikan sebagai pengisian kursus iaitu Pengurusan Bencana Banjir dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), asas pengendalian dan penyelenggaraan bot serta asas menyelamat mangsa banjir untuk pasukan bantuan perubatan kecemasan.

Uniknya kali ini, kursus seumpama ini yang selalunya disertai anggota sukarelawan APM turut disertai ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM) dan penduduk sekitar dari pelbagai latar belakang.

Menurut Komander Pasukan CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan, program itu julung kali diadakan melibatkan komuniti setempat kerana mengambil kira peranan semua ahli komuniti dalam menghadapi bencana banjir yang hampir setiap tahun berlaku di kawasan ini.

Katanya, Pasukan CDERT Ketereh telah diberikan hadiah sebuah bot penyelamat selepas memenangi Anugerah Pasukan CDERT Komuniti Terbaik dua tahun lalu.

“Ianya menjadi penyuntik semangat untuk semua anggota dan masyarakat setempat berkhidmat secara sukarela dalam menghadapi bencana,” katanya.

Kata beliau, di akhir kursus itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Saiful Azam Ismail turut melancarkan Program Kerjasama Pasukan CDERT Ketereh dengan Persatuan Komuniti Kedai Melor.

“Pelancaran disempurnakan dengan pemakaian vest pasukan Civil Defence Auxiliary oleh Mejar Saiful Azam kepada semua 10 Ahli Jawatankuasa PKKM yang hadir,” jelas beliau.

Mohd Saiful Azam (dua kiri) dan Nik Saiful Adli (empat kiri) memakaikan Vest Pasukan kepada Pengerusi PKKM, Nik Par Nik Hasan sebagai simbolik kerjasama Pasukan APM dan Persatuan Komuniti Kedai Melor

Dalam majlis itu juga, beliau mengumumkan, Pejabat APM Daerah menghantar sembilan anggota Pasukan Perubatan CDERT Ketereh di bawah seliaan Ketua Kompeni Perubatan, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nurul Ain Razali mulai hari ini selama lima hari menjalani kursus First Responder Life Support di UiTM Machang sebagai membantu menyediakan pasukan ini ke arah lebih lengkap dengan pelbagai kemahiran berguna sewaktu bencana.

Turut hadir, wakil Pasukan CDERT POKB, Mejar Bersekutu (PA) Datuk Wan Azhar Wan Yusoff; Pengerusi PKKM, Nik Par Nik Hasan; Ketua Kompeni CDERT Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin; dan pegawai-pegawai Angkatan Pertahanan Awam Kelantan. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *