PETALING JAYA – Bintai Kinden Corporation Berhad (BKCB) pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), pengilang peranti perubatan dan pengendali kemudahan, menerusi anak syarikat milik penuhnya Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK), telah dianugerah dua kontrak bernilai RM25.68 juta.
Kontrak pertama bernilai RM24.98 juta melibatkan pembinaan 24 unit rumah berkembar 3 tingkat dan 12 unit rumah bandar dalam bangunan 3 tingkat beserta kerja infrastruktur di Mukim Cheras, Hulu Langat, Selangor yang dianugerahkan oleh Palm Valley Development Sdn. Bhd.
Tempoh pembinaan ditetapkan selama 18 bulan dengan jangkaan siap sebelum pertengahan 2026, manakala kontrak kedua bernilai RM700,000 untuk kerja bekalan elektrik sementara bagi bangunan sedia ada dan kerja berkaitan di Zon 3, Lapangan Terbang Sultan Adbul Aziz Shah (LTSAAS), Selangor yang dianugerahkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
Tempoh pembinaan ditetapkan selama empat bulan dengan jangkaan tarikh siap pada 29 November ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, pihaknya gembira dengan dua kontrak itu, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada tahun kewangan akan datang.
“Kemenangan ini menunjukkan penstrukturan semula positif operasi Kumpulan Bintai.
“Sepanjang 10 bulan awal sebagai pengarah urusan, saya dan pasukan saya menumpukan pada tugas kritikal berunding dengan bank dan pemiutang, melaksanakan langkah penjimatan kos, menyiap dan memuktamadkan projek tertunggak, memastikan pembayaran penghutang dan meningkatkan modal daripada pasaran.
“Selepas 10 bulan, kami mula membuat tender untuk pekerjaan baharu, menandakan fasa pertumbuhan baharu untuk BKCB. Usaha ini penting dalam matlamat kami untuk memacu syarikat keluar daripada PN17,” katanya di sini, hari ini.
Chor Han mengucapkan terima kasih kepada BKCB atas sokongan dan keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada pihaknya.
“Rekod prestasi kami yang kukuh dalam menyiapkan projek mengikut jadual memainkan peranan penting dan kami berharap untuk lebih banyak kemenangan kontrak tidak lama lagi.
“Sejak penstrukturan semula, kami berjaya memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM56 juta. Buku tender kami sekarang berjumlah RM160 juta, dengan pasukan kami giat mengejar dan berharap untuk anugerah tender baharu,” katanya.
Kejayaan projek itu akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Bintai Kinden Corporation Berhad di hadapan, meningkatkan nilai pemegang saham dan memacu pertumbuhan masa depan.
Sehingga jam 5 petang ini, harga saham BKCB ditutup pada 13.5 sen, menunjukkan modal pasaran RM164.7 juta. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252