KUALA LUMPUR – Pemegang akaun X, RimauXI jelas mencuri tumpuan ramai malam tadi, selepas mendapat jemputan minum kopi daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Malah, menariknya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mendedahkan nombor telefonnya di akaun X ketika membuat jemputan itu.
Jadi, sudah tentu ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan RimauXI yang turut terbabit dalam isu kenyataan bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang melontarkan perkataan ‘sangat bahaya’ ketika mendedahkan punca beliau meletak jawatan semalam.
BH Online berpeluang menemubual RimauXI dengan memaklumkan beliau adalah penyokong bola sepak tempatan yang sebelum ini bergiat aktif dalam pergerakan Ultras Malaya (UM).
Malah, RimauXI memiliki kerjaya yang cemerlang sebagai juruaudit di salah sebuah syarikat swasta di negara ini.
Meskipun sudah meninggalkan pergerakan UM selama lebih 10 tahun atas komitmen kerjaya, namun itu tidak menghalang dia daripada untuk terus menjadi penyokong di sebalik tabir.
Atas dasar cintakan bola sepak, RimauXI kerap bersuara dengan menjadikan platform X sebagai medium untuk berkongsi pandangan membabitkan isu semasa dan hal ehwal bola sepak.
Termasuk jemputan malam tadi, RimauXI mendedahkan ini kali ketiga dia bersemuka dengan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.
Beliau dijemput dalam pertemuan di sebuah hotel terkemuka, malam tadi untuk bertanyakan sendiri mengenai kenyataan bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang melontarkan perkataan ‘sangat bahaya’ ketika memaklumkan punca dia meletak jawatan dalam sidang media khas, semalam.
“Pan Gon katakan bahawa penguasaan bahasa Inggerisnya tidak berapa baik. Sebenarnya dia maksudkan mengenai perancangan strategik dan pelan bola sepak kita untuk masa depan.
“Dan itu yang sangat bahaya kalau ia didedahkan secara terbuka kepada umum. Saya juga sempat bertanya beberapa soalan lain kepadanya seperti hala tujunya selepas ini,” katanya yang enggan dinamakan.
Dalam masa sama, RimauXI sama sekali tidak risau untuk bersemuka dengan Tunku Ismail dan menyifatkan baginda sebagai seorang yang begitu ‘gentleman.’
“Selain Tunku Ismail, saya pun pernah berjumpa pengurusan tertinggi FAM dan MFL, pengurusan tertinggi pasukan. Jadi bagi saya, ini satu perkara yang biasa.
“Tetapi sepanjang saya bersemuka dengan Tunku Ismail, saya sentiasa mendapat layanan yang baik dan baginda sentiasa memastikan tetamunya berada dalam keadaan selesa.
“Baginda memang sangat ‘gentleman’ dan menunjukkan rasa hormat kepada tetamunya. Baginda mendengar pandangan orang dan bercakap menggunakan fakta,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252