Tajuk Utama
    Dua papan iklan tumbang di Melaka tiada lesen - Exco

    Dua papan iklan tumbang di Melaka tiada lesen – Exco

    MELAKA – Dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini, dalam kejadian angin kuat awal pagi semalam didapati tidak mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, PBT akan memantau dan memeriksa semua papan iklan di negeri itu bagi memastikan ia berlesen dan pemasangannya mengikut prosedur ditetapkan.

    Beliau berkata, tindakan itu juga bagi memastikan tiada papan iklan haram dipasang di sekitar Melaka, sekali gus mengelak kejadian sama berulang yang berkemungkinan disebabkan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan.

    “Alhamdulillah, kejadian semalam tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan pada orang awam, namun insiden ini perlu diberi perhatian serius oleh semua PBT bagi memastikan ia tidak berulang, terutama melibatkan papan iklan haram.

    “Tindakan segera dari PBT terlibat terhadap dua kes berkenaan akan diambil termasuk memeriksa dan memantau semua papan iklan sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

    Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu 2024 yang dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – BERNAMA

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *