Polis tahan dua lelaki curi motosikal, jual di media sosial

Polis tahan dua lelaki curi motosikal, jual di media sosial

JOHOR BAHRU – Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencuri motosikal di bandar raya ini, sebelum menjualnya di media sosial dengan harga lebih rendah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan suspek dibuat dalam tempoh 24 jam susulan laporan polis dibuat mangsa, lelaki tempatan berumur 35 tahun pada jam 11.56 pagi kelmarin.

Katanya, mangsa membuat laporan mengenai kehilangan motosikal miliknya yang disyaki dicuri selepas diletakkan di parkir motosikal di salah sebuah bangunan di bandar raya ini.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 10.20 malam hari sama hingga jam 1.50 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) JBS membuat serbuan di tiga lokasi berasingan termasuk di Larkin dan Pekan Nanas, Pontian.

“Dalam serbuan itu, polis menangkap dua lelaki warga tempatan iaitu pencuri dan pembeli barangan curi berusia 28 dan 29 tahun.

“Turut dirampas, kunci motosikal, sekeping salinan sijil pemilikan kenderaan (palsu) dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya dipetik Harian Metro dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, siasatan awal mendapati, selepas mencuri motosikal, suspek membuat salinan sijil milikan kenderaan palsu dengan menggunakan aplikasi dan menyunting nama pemilik asal kepada namanya.

Katanya, suspek kemudian memuat naik iklan penjualan motosikal di media sosial, pada harga antara RM1,400 hingga RM1,500.

“Hasil tangkapan suspek pertama berjaya menyelesaikan tiga lagi kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini.

“Hasil semakan, suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua, tiada rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *