AMK kata Onn Hafiz ‘kurang cermat’ bangkit isu Sri Gading, ini jawapan SU UMNO Johor

JOHOR BAHRU – Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menggesa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan kenyataan Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Sabtu lalu, yang menegaskan parti itu akan bertungkus-lumus merampas kembali kerusi Parlimen Sri Gading.

Sejak 1974, Parlimen Sri Gading secara tradisi ditandingi dan dimenangi UMNO, namun pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ia dirampas BERSATU yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum menganggotai Perikatan Nasional (PN) dan pada PRU 2022, dimenangi AMANAH mewakili PH.

Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad dilapor berkata, dengan kenyataan kurang cermat seperti itu, Onn Hafiz dilihat seolah mempunyai agenda bertentangan dengan semangat kerjasama, boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakan membentuk Kerajaan Perpaduan, lapor Berita Harian.

Beliau seterusnya meminta Menteri Besar Johor menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai contoh terbaik yang sentiasa mengajak pimpinan dan ahli parti itu menghormati kerusi yang dimenangi parti komponen.

Menjawab kenyataan Faezuddin, Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman hari ini, menegaskan Onn Hafiz sekadar menyampaikan hasrat akar umbi UMNO Sri Gading yang mahu kerusi Parlimen berkenaan kembali ke pangkuan parti.

Beliau menyifatkan reaksi Faezuddin berkait kerusi Parlimen terbabit sebagai berlebihan dan menasihatkan Naib Ketua AMK Johor itu supaya tidak mengikut emosi orang muda.

Katanya lagi, tidak timbul persoalan Onn Hafiz tidak cermat bercakap atau mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

“Beliau bersuara atas kapasiti Pengerusi UMNO negeri. Sebagai pemimpin yang terkenal dengan sikap prihatin kepada denyut nadi rakyat dalam urusan pentadbiran negeri dan peka dengan suara akar umbi dalam parti, beliau faham kehendak pimpinan dan ahli UMNO Sri Gading.

“Oleh itu, beliau saran supaya keseluruhan pimpinan dan jentera UMNO Sri Gading bersedia dari awal untuk berdepan PRU16. Orang parti lain sepatutnya tidak campur apa jua urusan dalaman UMNO kerana Menteri Besar bercakap atas pentas persidangan UMNO,” katanya.

Abdul Halim berkata, pembahagian kerusi pilihan raya di antara parti dalam kerajaan, termasuk di Johor akan dibincangkan Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan jika kerjasama ketika ini diteruskan.

Katanya, tempoh ke arah PRU16 juga masih jauh dan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya pun belum diputuskan secara rasmi dan bertulis antara kedua-dua pihak.

“Kalau betul ada kerjasama, kita berbincanglah. Kalau masing-masing bawa haluan sendiri, maknanya kita bertempurlah secara politik matang di medan pilihan raya nanti. Saya nasihatkan AMK Johor, tak perlulah nak bereaksi berlebih-lebihan dalam perkara yang belum muktamad lagi,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *