Hormat juga hak rakyat tak mahu ada ‘katak politik’, Akmal beritahu Pemuda PH

Hormat juga hak rakyat tak mahu ada ‘katak politik’ – Dr. Akmal

PETALING JAYA – Hak rakyat yang tidak mahu lagi ada ‘katak politik’ dengan lulusnya Akta Anti Lompat Parti, juga harus dihormati, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh.

Beliau menegaskan, sebelum parti gabungan dari Pakatan Harapan (PH) menggesanya supaya menghormati keputusan Speaker Dewan Rakyat, mereka juga terlebih dahulu berlaku adil kepada rakyat.

“Sebelum nak hormat keputusan Speaker, sebagai pemimpin apa yang lebih penting adalah hormat hak rakyat dahulu. Rakyat sudah bosan katak-katak politik ini yang terus menjahanamkan kestabilan politik dan negara.

“Kalau perkiraan sendiri digunakan dalam memutuskan sesuatu keputusan, tidak mustahil selepas ini akan berlaku lagi wakil-wakil rakyat berpaling tadah.

“Ini kerana, tindakan enam wakil rakyat dari Bersatu yang dipecat keahliannya baru-baru ini dipertahankan oleh Speaker Dewan Rakyat. Tidak dikenakan apa-apa tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan sekutunya, PH agar Pemuda UMNO menghormati keputusan Tan Sri Johari Abdul berhubung kedudukan enam wakil rakyat berpaling tadah itu.

Selasa lalu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen yang terlucut keahlian dari parti Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Dr. Akmal menyifatkan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen dua tahun lalu hanya sia-sia sahaja selepas wakil rakyat yang berpaling tadah tidak hilang kerusi.

Beliau turut mempersoalkan jika berlaku peralihan sokongan daripada mana-mana wakil rakyat dari blok pembangkang mahupun kerajaan selepas ini, adakah ia dibenarkan?

“Atau adakah ia terpakai kepada satu pihak sahaja? Dan yang untung adalah katak politik, yang terus menjahanamkan negara, manakala rakyat pula yang terpaksa menanggungnya,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *