Selangor Perkukuh Kerjasama Global, Tarik Pelaburan Berteknologi Tinggi

Oleh Siti Khadijah Manudin

SHAH ALAM — Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama apabila menganjurkan sesi libat urus bersama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat–ASEAN (US-ABC), yang menghimpunkan 22 syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Amirudin Shari berkata di laman Facebooknya, sesi tersebut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik serta hala tuju masa depan pertumbuhan ekonomi Selangor.

Menurut beliau, perbincangan turut disertai oleh Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif US-ABC, Brian D. McFeeters, serta wakil utama organisasi itu di Malaysia, Tina Jamaluddin.

“Dialog ini melibatkan syarikat multinasional terkemuka seperti IBM, Amazon, Apple, Boeing, Micron, Mastercard, Philip Morris, Procter & Gamble, Zuellig Pharma dan Cargill, yang berkongsi pandangan mengenai pembangunan industri teknologi tinggi,” katanya.

Tambah beliau, perbincangan memberi fokus kepada kekuatan Selangor sebagai hab pelaburan serantau, termasuk pembangunan bakat, kesiapsiagaan tenaga kerja mahir, bekalan air mampan serta dasar mesra pelabur.

Selain itu, syarikat-syarikat terlibat turut mengemukakan cadangan berkaitan pembangunan kecerdasan buatan (AI), rantaian bekalan global, sektor farmaseutikal dan pendigitalan.

Amirudin menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus meningkatkan daya saing Selangor melalui pembangunan infrastruktur, inovasi teknologi, tadbir urus cekap serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

“Keyakinan syarikat global ini mencerminkan kestabilan dan potensi Selangor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *