SEREMBAN – Kerajaan Malaysia menegaskan tiada sebarang pengampunan akan diberikan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, walaupun beliau dilaporkan sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan yang dikemukakan Jho Low kepada pihak berkuasa AS itu merupakan urusan dalaman negara berkenaan dan tidak melibatkan kerajaan Malaysia.
Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan permohonan tersebut terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan AS.
Namun, katanya, Malaysia tetap berpendirian tegas terhadap individu yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
“Tiada pengampunan untuknya di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa berhubung tindakan Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden AS.
Anwar turut menjelaskan, Malaysia tidak bercadang membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS berhubung perkara itu kerana ia berada di luar bidang kuasa negara ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak menyokong langkah yang diambil oleh Jho Low untuk mendapatkan pengampunan tersebut.
“Kita tidak menyokong permohonan itu, tetapi ia adalah urusan AS,” katanya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, Jho Low difahamkan telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Donald Trump dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), laman web Jabatan Kehakiman AS (DOJ) turut menyenaraikan satu permohonan di bawah nama Taek Jho Low yang masih dalam proses semakan. Permohonan itu dikategorikan sebagai “Pardon after Completion of Sentence”.
Sekiranya diluluskan, pengampunan tersebut berpotensi menggugurkan pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih dilaporkan memaklumkan permohonan itu setakat ini belum menjadi perhatian utama pentadbiran AS.
Jho Low menjadi individu paling dikehendaki pihak berkuasa susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana 1MDB yang mencetuskan perhatian global.
Siasatan Jabatan Kehakiman AS sebelum ini mendakwa lebih AS$4.5 bilion dana berkaitan 1MDB diseleweng antara tahun 2009 hingga 2014.
Sejak menjadi buruan antarabangsa pada 2018, lokasi sebenar Jho Low masih belum dapat dipastikan walaupun pelbagai laporan media antarabangsa pernah mengaitkannya dengan beberapa lokasi termasuk Hong Kong, Macau, Shanghai dan Myanmar.
Beliau juga kekal tersenarai dalam kategori Notis Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL), manakala pihak berkuasa Malaysia terus menjalankan usaha mengesannya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L