IPOH – Satu lagi mayat mangsa bot membawa migran warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan pagi ini, menjadikan jumlah yang maut susulan insiden berkenaan berjumlah 11 orang setakat ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam kenyataan memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 9.27 pagi tadi di kedudukan 5.6 batu nautika dari lokasi kejadian.
“Mayat berkenaan ditemui oleh aset TLDM (FCB 1001) dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh pada jam 10.20 pagi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelima diteruskan bermula jam 7 pagi, dengan radius keluasan kawasan keseluruhan pencarian sekitar 215.14 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.
Operasi SAR turut melibatkan tujuh aset melibatkan Kapal Maritim (KM) Malawali (APMM), Benteng 1203 (APMM), KD Sri Indera Sakti (TLDM) FCB 1001 (TLDM), FCB 1030, PSC 16 (Pasukan Polis Marin (PPM)) dan PSC 24 (PPM) tertumpu bagi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian 11 Mei lepas, sebuah bot dipercayai membawa 37 migran warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia.
Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L