BERITA UTAMA
Juruteknik rugi RM167,147 diperdaya pelaburan tak wujud

Juruteknik rugi RM167,147 diperdaya pelaburan tak wujud

PASIR GUDANG – Seorang juruteknik warga tempatan kerugian RM167,147 selepas diperdaya kenalan di laman sosial Facebook (FB) yang menawarkan skim pelaburan perniagaan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 36 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa kenalannya itu menawarkan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan 20 peratus dari modal dilaburkan dan memintanya mendaftar menerusi pautan diberikan.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan kaedah mudah dan pulangan lumayan melakukan 21 kali transaksi bayaran secara dalam talian ke 14 akaun bank berbeza antara 29 April hingga 23 Jun yang keseluruhannya berjumlah RM167,147.

“Mangsa dikehendaki mendapatkan tempahan pembelian baju daripada orang lain secara dalam talian dan suspek kononnya menggunakan duit mangsa dulu untuk pembayaran tempahan itu.

“Selepas melaburkan sejumlah wang, mangsa gagal memperoleh keuntungan dijanjikan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya sebagaimana laporan Berita Harian menerusi dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga merangkumi pembabitan keldai akaun dan sekiranya ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit

“Pihak polis menasihati orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau kerja sambilan yang menjanjikan pulangan mudah, cepat dan tinggi.

“Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian disediakan jabatan siasatan jenayah komersial seperti National Scam Response Centre, CCID infoline dan semak mule,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *