Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
PEMBANGUNAN tenaga mahir negara tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian. Dalam era ekonomi berasaskan teknologi, automasi dan pendigitalan, Penyedia Latihan TVET perlu menjalin kerjasama strategik yang lebih kukuh dengan industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan, responsif dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan sebenar.
Kerjasama ini bukan sekadar pelengkap kepada sistem latihan, tetapi merupakan keperluan strategik dalam membina ekosistem TVET negara yang lebih berdaya saing.
Kepentingan kerjasama ini amat signifikan dalam usaha negara mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030. Sasaran ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun antara Kerajaan, Penyedia Latihan TVET dan industri.
Industri tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai penerima graduan, sebaliknya perlu berperanan sebagai rakan strategik dalam membentuk, melatih dan mengiktiraf tenaga mahir negara.
Pendekatan ini juga selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan ekosistem TVET berpaksikan industri, serta agenda (R)EVOLUSI TVET yang memberi fokus kepada transformasi sistem pembangunan kemahiran agar lebih dinamik dan relevan dengan ekonomi masa hadapan.
Antara cabaran utama TVET ialah isu silibus dan peralatan yang tidak terkini. Dalam banyak keadaan, teknologi industri berubah lebih pantas berbanding kemampuan institusi latihan untuk mengemas kini modul, mesin, perisian dan fasiliti.

Kesannya, pelatih berisiko dilatih menggunakan teknologi yang tidak lagi digunakan secara meluas di tempat kerja sebenar. Keadaan ini menyumbang kepada ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri atau skills mismatch, apabila graduan masih memerlukan latihan tambahan sebelum benar-benar bersedia bekerja.
Melalui kerjasama strategik, jurang ini dapat dikurangkan. Industri boleh dilibatkan dalam pembangunan kurikulum, latihan berasaskan projek sebenar, penilaian kompetensi, latihan industri berstruktur serta perkongsian kepakaran.
Pendekatan ini memastikan latihan TVET bukan sahaja memenuhi keperluan pensijilan, malah benar-benar mencerminkan operasi dan standard industri sebenar.
Selain itu, kerjasama industri membolehkan konsep perkongsian sumber dilaksanakan secara lebih berkesan. Tidak semua Penyedia Latihan TVET mampu menyediakan peralatan berteknologi tinggi secara berterusan.
Melalui kolaborasi, fasiliti, mesin, teknologi, perisian dan kepakaran industri boleh dikongsi bagi meningkatkan kualiti latihan. Pada masa yang sama, Penyedia Latihan TVET juga boleh memanfaatkan kekuatan rangkaian industri dari aspek teknologi, pasaran, rantaian bekalan dan standard operasi sebenar.
Kerjasama ini juga penting untuk mengatasi jurang kepercayaan industri terhadap kualiti graduan TVET. Apabila industri terlibat secara langsung dalam reka bentuk latihan, pelaksanaan, penilaian dan pengesahan kemahiran, keyakinan terhadap graduan TVET akan meningkat.
Seterusnya, graduan yang benar-benar kompeten mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi dan berpeluang memperoleh gaji yang lebih setimpal serta bermaruah.
Contoh terbaik yang boleh dijadikan rujukan ialah kerjasama Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) dengan PROTON melalui PROTON Institute.
Kerjasama ini membuktikan sinergi antara penyedia latihan awam dan industri mampu memberi nilai tambah kepada pelatih, pengajar dan sektor automotif negara.
Selain PROTON, kerjasama dengan Daikin, Huawei, PETRONAS, Sarawak Skills, SG Academy dan rakan industri lain turut menunjukkan bahawa kolaborasi strategik mampu mempercepatkan pemindahan teknologi, meningkatkan kompetensi pengajar dan menyesuaikan latihan dengan keperluan pekerjaan sebenar.
Dalam hal ini, Kerajaan juga perlu memperkenalkan lebih banyak inisiatif dan insentif kepada industri yang aktif berkolaborasi dalam latihan TVET. Industri yang berkongsi fasiliti, menyediakan tempat latihan, menawarkan perantisan, melibatkan pakar sebagai tenaga pengajar atau penilai, serta menyumbang kepada pembangunan kurikulum wajar diberikan sokongan bersesuaian.
Antara bentuk sokongan yang boleh dipertimbangkan termasuk insentif cukai, geran padanan, pengiktirafan khas, dana latihan dan keutamaan dalam program pembangunan industri.
Kesimpulannya, kerjasama TVET–industri bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik negara. Melalui sinergi yang kukuh, isu silibus lapuk, peralatan tidak terkini, skills mismatch, jurang kepercayaan dan gaji tidak setimpal dapat ditangani secara lebih berkesan.
Inilah asas penting untuk melahirkan tenaga mahir berkualiti, meningkatkan produktiviti negara dan menjadikan TVET sebagai laluan utama ke arah pekerjaan bernilai tinggi.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L