BERITA UTAMA
Purata pendapatan pekebun kecil RISDA meningkat 40 peratus - KKDW

Purata pendapatan pekebun kecil RISDA meningkat 40 peratus – KKDW

KUALA LUMPUR – Purata pendapatan pekebun kecil getah meningkat 40 peratus kepada RM436 sebulan, setakat Mei lalu, hasil pelaksanaan Program Agromakanan oleh RISDA.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan berbanding Disember tahun lalu, pendapatan pekebun kecil getah adalah sebanyak RM238 sebulan bagi seorang peserta.

“Selain itu, bagi memastikan perancangan sasaran purata peningkatan pendapatan peserta Program Agromakanan mencapai RM500 sebulan menjelang akhir 2025 tercapai, RISDA menyediakan latihan asas keusahawanan dan latihan teknikal kemahiran.

“Ia meliputi pengurusan perniagaan dan pengurusan perakaunan kepada peserta projek melalui pelbagai kursus jangka pendek dan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” menurut KKDW bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang ingin tahu purata peningkatan pendapatan pekebun kecil terkini hasil pelaksanaan Program Agromakanan RISDA.

Soalan itu turut menyebut setakat Disember 2023 purata pendapatan pekebun kecil getah berada pada tahap RM238 sebulan dan Wan Hassan juga ingin tahu perancangan kerajaan dalam memastikan sasaran purata peningkatan RM500 sebulan menjelang akhir 2025 tercapai.

KKDW memaklumkan bagi tahun ini, sebanyak RM2 juta diperuntukkan dengan sasaran hampir 1,000 peserta Program Agromakanan di seluruh negara diberikan bimbingan.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 14 siri kursus jangka pendek dan TVET dilaksanakan manakala baki sebanyak 30 siri kursus lagi akan dilaksanakan sehingga November ini,” menurut KKDW.

Sementara itu, menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai signifikan penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM), KKDW memaklumkan pelaksanaan jawatankuasa itu di Sabah dan beberapa negeri di Semenanjung tidak akan mengakibatkan pertindihan kerja dan kos atau mengelirukan masyarakat.

“Penubuhan JKDM ini bertujuan membantu kementerian dalam melaksanakan usaha pembangunan komuniti luar bandar.

“JKDM ini akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memainkan peranan sebagai ejen perubahan bagi menyelaras pelbagai aktiviti atau program berbentuk pembangunan sosio-ekonomi sekali gus membasmi kemiskinan tegar masyarakat luar bandar.

“Justeru, penubuhan JKDM oleh kementerian secara tidak langsung akan membawa nilai tambah kepada pelaksanaan sedia ada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri berkaitan,” menurut KKDW. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *