BERITA UTAMA
Pekerja kilang didakwa miliki bahan berkaitan kumpulan Daesh

Pekerja kilang didakwa miliki bahan berkaitan kumpulan Daesh

KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Suhaini Sarwan, 46, menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan perbuatan pengganas dalam komputer riba miliknya di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya di sini, pada 2.20 petang, 30 Mei lepas.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didapati memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, pada 2.20 petang tarikh yang sama.

Suhaini didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut jika disabitkan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk keputusan permohonan pemindahan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Selasa, tertuduh dan suaminya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS bulan lepas. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *