BERITA UTAMA
Amaran buat kartel harga diesel, anda sedang diperhatikan! - MyCC

Amaran buat kartel harga diesel, anda sedang diperhatikan! – MyCC

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini sedang giat memantau dan mengenal pasti aktiviti kartel dalam industri selepas lebih dua minggu penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail memberi amaran tegas kepada semua pemilik perniagaan agar tidak melanggar undang-undang dengan membuat pencatutan harga yang tidak munasabah sehingga membebankan rakyat.

“Janganlah berbuat demikian, apatah lagi menyebarkannya di media sosial. Bukan niat kita untuk mengenakan mereka, tetapi undang-undang mesti dipatuhi.

“Kita faham menaikkan atau menurunkan harga adalah hak anda sebagai peniaga, dan anda yang mengawal kos serta ingin menjadi efisien untuk pelanggan. Namun, perlu diingat ada hadnya.

“Jika harga dinaikkan terlalu tinggi, itu adalah pencatutan. Jika kenaikan harga dilakukan bersama-sama dengan pesaing, itu adalah pembentukan kartel,” katanya ketika diwawancara dalam program Niaga Awani pada Khamis.

Sehubungan itu, Iskandar menasihatkan mereka agar memilih pendekatan yang wajar antaranya dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada MyCC.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang sudah tersilap langkah, menaikkan harga secara bebas tanpa kawalan, mereka dinasihatkan untuk berhenti serta-merta agar tidak memakan diri sendiri kelak,” tegas beliau lagi. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *