PTVM gesa perkenal dasar bela nasib pelakon veteran

PTVM gesa perkenal dasar bela nasib pelakon veteran

KUALA LUMPUR – Kesempitan hidup dan masalah kesihatan yang dihadapi golongan selebriti seharusnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, sepatutnya satu dana khusus diwujudkan bagi membantu golongan selebriti yang memerlukan memandangkan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa prihatin dengan nasib selebriti dan menjadi orang terawal menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan menerusi Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi.

“Namun, kebanyakan bantuan diterima golongan artis bersifat ‘ad-hoc’. Kami pun tidak mahu golongan selebriti terlalu bergantung kepada bantuan tanpa berbuat apa-apa.

“Jadi, PTVM berharap ada satu tabung diwujudkan supaya mana-mana artis yang memerlukan tahu ke mana mereka boleh rujuk jika berdepan kesempitan hidup.

“Contohnya, kalau orang susah boleh rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi, kalau boleh golongan selebriti juga ada satu badan yang boleh dirujuk atau minta bantuan sekiranya memerlukan.

“Bantuan ini bukan sewenang-wenangnya diberikan, tapi kenalah ada prosedur. Sebab kita tak mahu artis malas kerja dan jadikan alasan tak sihat untuk dapatkan bantuan dengan mudah,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Jurey mengulas susulan kesempitan hidup dilalui pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, 68, yang menanggung bebanan hutang tunggakan rumah berjumlah RM7,500 dan dugaan dilalui pelakon Kamal Bakar, 62, yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Selain itu, Jurey menggesa kerajaan mewujudkan satu dasar yang jelas bagi membela nasib pelakon veteran yang kian sukar mendapatkan job.

Sebagai contoh, katanya, Dharma ada memberitahu masih mempunyai kudrat untuk bekerja, tetapi tidak mendapat peluang kerana tiada penerbit sudi mengambilnya berlakon.

Justeru, Jurey menggesa kerajaan memperkenalkan satu dasar yang mewajibkan stesen televisyen (TV) mahupun penerbit mengambil golongan veteran dengan membawakan watak yang bersesuaian.

“Kalau tengok ada stesen TV gunakan khidmat pelakon lebih muda dan solekan menjadi tua semata-mata kerana mereka ada nama dan pengikut.

“Jadi, kami sarankan kerajaan tetapkan satu dasar dan wajibkan RTM ambil pelakon veteran dalam drama, jadi tidaklah mereka rasa dipinggirkan dan bayarlah dengan bayaran setimpal.

“Ada sesetengah penerbit bayar pelakon veteran asal boleh sahaja, tetapi mereka terima juga sebab tiada pilihan demi kelangsungan hidup. Tak dinafikan ada penerbit seperti Rashid Sibir yang sanggup memberi bayaran lumayan, tapi itu atas budi bicara penerbit.

“Kalau ada penetapan harga, jadi lebih mudah untuk pelakon veteran, setidak-tidaknya nasib mereka terbela,” katanya.

Terdahulu, Jurey meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Kamal yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Jurey berkata, dia sudah mengenali Kamal sejak 2005 kerana banyak membantu memudah cara pihak produksi yang menjalani penggambaran di Melaka.

“Walaupun jadual kerja sibuk, saya cuba luangkan masa menziarah Kamal kerana Kamal banyak membantu sejak mengenalinya pada 2005.

“Boleh dikatakan kebanyakan penerbit yang menjalani penggambaran di Melaka menggunakan khidmat Kamal untuk mencari lokasi penggambaran. Banyak jasa Kamal kepada produksi,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *