BERITA UTAMA
MCMC mohon TikTok, Telegram turun kandungan didakwa kertas siasatan kes Zayn Rayyan

MCMC mohon TikTok, Telegram turun kandungan didakwa kertas siasatan kes Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan maklumat siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak austistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform termasuk TikTok dan Telegram untuk penurunan kandungan terbabit.

Jelas suruhanjaya itu, penyebaran dakwaan maklumat siasatan kes tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.

“MCMC memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu.

“Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi,” kata MCMC, hari ini.

MCMC menambah tindakan berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan.

Semalam, polis memaklumkan akan bekerjasama dengan MCMC bagi menyiasat pihak yang menyebarkan maklumat didakwa berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan, seperti yang tular di platform media sosial Telegram sejak Khamis.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *