KUALA LUMPUR – KUALA LUMPUR – Setiap dasar yang diperkenalkan atau diganti baharu tidak akan mencapai sasaran serta matlamat selagi tidak mengekalkan ciri inklusif seperti sebelumnya.
Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera Parti Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, tiada guna dasar diperkenalkan itu ditukar kulit, sedangkan isi atau pelaksanaannya masih sama dan ditakuk lama.
Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra memberi contoh, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak tidak mencapai sasaran dan menunjukkan hasil sepertimana disasarkan khusus kepada pencapaian bumiputera.
“Matlamat tersurat DEB untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata dalam mengurangkan serta membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan, di samping menambah peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Selain itu, mempercepatkan proses penyusunan semula ekonomi Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata beliau, begitu juga Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang diperkenalkan pada 1991, masih mengekalkan elemen dari DEB.
“Yang mana matlamatnya adalah masih merapatkan jurang perbezaan purata pendapatan dalam kalangan kaum di Malaysia.
“Ini menunjukkan, dasar sedia ada sebenarnya bersifat inklusif kepada semua rakyat Malaysia, namun ianya belum mencapai matlamat sepertimana dirancang,” katanya.
Justeru, Dr. Mohamad Izwan berpendapat, gantilah apa juga dasar sekali pun, pastikan ianya mengekal ciri inklusif sepertimana dasar-dasar yang diperkenalkan sebelum ini.
Ujar beliau, walau apa juga dasar diganti sekiranya matlamat sedia ada tidak mencapai sasaran, untuk apa harus tukar baharu.
“Tidak guna tukar kulit, tapi isi masih sama, prestasi kulit akan turun kerana isinya belum diperoleh kaedah rawatan.
“Dasar-dasar ini masih relevan dikekalkan berdasarkan kepada kek-kek ekonomi mengikut nisbah kaum bagi mengelak dominasi sesuatu kaum, walaupun bilangan kaum itu tidak dominan di Malaysia dari segi jumlah.
“Kita lihat dari Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang lalu, pengagihan dana yang kerajaan peruntukan masih bersifat eksklusif kepada T20 bumiputera, bukan keseluruhan masyarakat bumiputera yang majoriti 99 peratus golongan M40 dan B40,” ujar beliau.
Katanya, dasar kerajaan hari ini perlu memastikan fokus kepada M40 dan B40 tidak kira apa bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
Menurut beliau lagi, kenaikan diesel subsidi akan memberikan impak yang besar kepada M40 dan B40 serta dasar itu adalah tidak betul dan tidak harus dilaksanakan ketika ini.
“Putra yakin ada cara lain untuk menangani penyeludupan. Lagipun, jumlah pendapatan bukan lagi menjadi ukuran dan sudah tidak releven.
“Oleh itu, Putra mencadangkan polisi baharu dengan purata kos keperluaan asas per rakyat diperkenalkan,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252