BERITA UTAMA
Polis terima dua laporan berkait kebocoran kertas siasatan Zayn Rayyan

Polis terima dua laporan berkait kebocoran kertas siasatan Zayn Rayyan

SHAH ALAM – Polis menerima dua laporan berhubung kebocoran kertas siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan itu.

“Siasatan lanjut berkaitan masih dijalankan dan yang saya boleh sahkan setakat ini adalah dua laporan telah dibuat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada Sabtu.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati berkongsi kandungan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila tangkap layar maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tersebar sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan kes kanak-kanak terbabit.

Terbaharu, pihak polis bakal mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *