BERITA UTAMA

Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari – KP Selangor

KUALA LUMPUR – Ibu bapa kepada ALlahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan reman tujuh hari mulai hari ini berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu pada Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu Astro AWANI, perintah reman kedua-dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini.

Katanya, tangkapan mereka adalah berdasarkan risikan sejak hari pertama kejadian.

“Mereka ditahan berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang,” katanya di sini hari ini.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, keesokan harinya.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, polis mengesahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.

Setakat Januari lalu, lebih 225 individu sudah dirakam percakapan, selain 248 sampel DNA milik penduduk dan orang terdekat diambil bagi tujuan siasatan.

Sebelum ini, polis menegaskan tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup.

Tambahnya, siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *