BALIK PULAU – Seorang wanita dan dua anaknya maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, tiga mayat mangsa yang rentung ditemui berasingan dalam rumah itu.
Dua mayat ditemui di tingkat bawah premis, manakala satu lagi di tingkat atas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa dikenali sebagai Nurul Bowjiya, 58, dan dua anaknya, Muhammad Ibrahim, 33, serta Rahbiah Jasmin, 20, dipercayai terperangkap dalam rumah yang musnah terbakar itu.
“Difahamkan ketika kejadian, ketiga mangsa berada dalam rumah itu.
“Pada mulanya, wanita itu bersama dua anak lelakinya dikatakan berjaya keluar, namun sebaik menyedari anak perempuannya masih berada dalam rumah, wanita itu dengan ditemani seorang anak lelaki masuk semula, tetapi ketiga-tiga mereka gagal keluar,” katanya.
Perkara itu disahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor dengan kebakaran mencetuskan asap tebal kerana membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.
“Difahamkan ketika kejadian, wanita bersama tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berada dalam rumah itu.
Mohd Faris berkata, sehingga kini punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat.
Operasi pemadaman membabitkan anggota BBP Seri Balik Pulau bersama dua jentera dengan dibantu BBP Balik Pulau.
Sementara itu seorang mangsa yang terselamat iaitu anak kedua daripada tiga beradik, dilihat pitam beberapa kali dan masih terkejut dengan kejadian. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252