BERITA UTAMA

YBR cungkil bakat muda menerusi teknologi robotik

AYER KEROH – Seramai 270 pelajar sekitar Melaka menyertai Program Future Tech anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam usaha meningkatkan kemahiran asas robotik dan mengingtegrasikan teknik pengaturcaraan melalui konsep tenaga lestari.

Program yang turut melibatkan 20 guru itu diadakan selama tiga hari dengan objektif meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kecekapan terhadap pengaturcaraan, mengaplikasikan kemahiran Computational Thinking dan Internet of Things di kalangan peserta melalui modul robotik, dron dan solar.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, yang turut dihadiri Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mohd Ghazali Ahmad.

Dalam ucapan perasmian, Ab Rauf mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana menaja program pendidikan teknologi digital itu dan mengharapkan ianya menjadi pemangkin transformasi masyarakat luar bandar ke arah teknologi.

“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dilaksanakan kerana ia memberi impak kepada dunia digital terutama di Malaysia,” katanya di majlis yang berlangsung di MITC Hotel Ayer Keroh.

Sementara itu, Syaiful Rizal dalam ucapannya menyatakan, bagi mewujudkan modal insan berdaya saing, program melibatkan pendidikan digital harus didedahkan kepada murid di peringkat sekolah rendah lagi bagi memastikan penguasaan ilmu berteraskan digital dapat dimaksimumkan.

Kata beliau, program berunsurkan robotik itu amat sesuai dengan perubahan teknologi yang semakin berkembang pesat serta bertepatan revolusi industri 4.0 di dalam negara.

“YBR menitikberatkan pendidikan dan melalui program ini pelajar dapat pendedahan penggunaan Artificil Intelligence (AI) serta menambah minat mereka dalam pengaturcaraan robotik, dron dan solar.

“Dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga memberi kesan positif terhadap penyertaan pelajar dalam mempelajari dan mendalami arena robotik,” katanya.

Pada majlis itu juga YBR turut melancarkan Program Tuisyen Rakyat Melaka melibatkan 10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Kata Syaiful Rizal lagi, usaha itu bagi membantu pelajar dari golongan kurang berkemampuan dan berada di luar bandar serta sekolah yang mempunyai ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan kelas tambahan secara percuma sebagai persiapan menduduki peperiksaan.

Program Tuisyen Rakyat di Melaka itu melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk 10 sekolah di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *