KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan polis ke atas penulis portal MalaysiaKini, Andrew Sia berhubung artikel memfitnah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyamakannya dengan sistem Apartheid.
Laporan itu dibuat Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif di Balai Polis Dang Wangi di sini, pada jam 4 petang ini.
Katanya, artikel itu dianggap sebagai memfitnah UiTM dengan tidak adil dan boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu apabila menuduh institusi pengajian tinggi itu mengamal dasar Apartheid.
“Saya, Shahrulufti Sharif, Ketua Penerangan Putra Malaysia, hari ini (23 Mei 2024) pada jam 4 petang telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berkenaan artikel yang dipublikasikan oleh Andrew Sia di MalaysiaKini.
“Kami menganggap artikel itu telah memfitnah UiTM dengan tidak adil yang boleh mencetus kemarahan orang Melayu dengan menuduh UiTM mengamal dasar Apartheid.
“Kami membuat aduan rasmi secara terperinci kepada polis berkenaan isu ini dan mendesak pihak berkuasa segera menyiasat serta mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Menurut Shahrulufti, UiTM ditubuhkan dengan tujuan memberi peluang pendidikan kepada bumiputera, bukan untuk melaksanakan diskriminasi.
Katanya, perbandingan yang dibuat dalam artikel tersebut merendahkan usaha dan integriti UiTM.
“Penubuhan UiTM berlandaskan pematuhan kepada undang-undang, perlembagaan, dan panduan kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada individu bumiputera.
“UiTM juga berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan sosial dalam masyarakat Malaysia dengan menyokong pendidikan pelajar bumiputera.
“Justeru, prinsip asas UiTM adalah memberdayakan individu bumiputera melalui pendidikan, bukan atas belaian mana-mana kumpulan tertentu,” ujar beliau.
Beliau mohon polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap artikel Sia yang memfitnah UiTM dan intervensi serta tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa untuk menangani isu ini.
Di samping itu, katanya, Putra mahu memastikan keadilan dan kesamarataan dalam menangani tuduhan tanpa asas terhadap UiTM.
“Kami berharap tindakan segera diambil untuk menjaga reputasi UiTM, menghormati sejarah dan niat mulia penubuhannya serta memastikan kebenaran dan keadilan dalam perkara ini,” tegasnya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252