BERITA UTAMA

PAS tandus idea, boleh dihukum rakyat pada PRU16, kata penganalisis

PETALING JAYA – Strategi Pas terus menyerang UMNO dan DAP tanpa menawarkan dasar memanfaatkan rakyat berisiko menyebabkanya ‘dihukum’ sekali lagi pada PRU16, selepas tewas PRK Kuala Kubu Baharu, kata penganalisis.

Menurut Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berbaki dua hingga tiga tahun sebelum mandat dikembalikan semula kepada pengundi, Pas yang menunjangi PN dilihat ketandusan idea apabila terus memainkan kempen naratif lama.

Katanya, parti itu sepatutnya memperkenalkan satu gagasan idea baharu lebih menyeluruh supaya masyarakat dapat menilainya secara serius sebagai satu alternatif kepada kerajaan perpaduan yang ketika ini menyediakan pelbagai inisiatif untuk orang ramai.

“Jika mereka tidak terbuka mengubah pendekatan dan kerajaan perpaduan konsisten memperkenalkan lebih banyak lagi dasar memberikan impak positif kepada orang ramai, Pas dan Bersatu akan dihukum pada PRU16.

“Pas perlu sedia ambil pendekatan ke arah politik bersifat inklusif bukan berpaksikan kepada satu kaum dalam usaha mendekati pengundi bukan Melayu, kalau ini dapat dilakukan mungkin boleh tingkat imej PN di mata komuniti terbabit,” katanya kepada FMT.

Dalam siri pertama Jelajah Selamatkan Malaysia bertajuk ‘KKB Signal Rakyat’ di Bangi pada 17 Mei lalu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari terus menyerang UMNO dengan mendakwa sebahagian besar ahlinya tidak mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu untuk menyokong Pakatan Harapan (PH), rakan dalam kerajaan perpaduan.

Beliau turut meminta UMNO bermuhasabah terutama kerjasamanya dengan DAP dan kegagalannya berbuat demikian akan menyebabkan parti itu hanya wujud dalam buku sejarah selepas PRU16.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dalam ceramah sama pula menyerang DAP dan sanggup memutuskan kerjasama selepas parti itu membangkitkan cadangan boleh menjejaskan orang Melayu serta Islam antaraya memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan serangan Pas terhadap UMNO dan DAP itu dibuat untuk menutup kelemahan PN dalam menarik pengundi di Kuala Kubu Baharu yang telah memilih Pang Sock Tao sebagai wakil rakyat mereka pada PRK 11 Mei lalu.

Menurutnya, agak menghairankan kerana naratif kaum seperti isu sekolah vernakular terus dimainkan ketika PN memerlukan undi bukan Melayu untuk menang.

“Pas dan Bersatu perlu memikirkan strategi mereka untuk menguatkan gerakan bagi menarik pengundi bukan Melayu,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *