BERITA UTAMA

Nama lain, kes libat lelaki Israel mungkin dilakukan orang lain – Peguam

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan mewakili lelaki Israel yang berdepan dua pertuduhan memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa kes berkenaan mungkin dilakukan individu lain.

Semasa sebutan kes tersebut di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin, peguam, Navinjit Singh yang mewakili Avitan Shalom, 38, berkata, kemungkinan anak guamnya tidak melakukan kesalahan berkenaan kerana nama dalam kertas pertuduhan tertera nama berlainan.

Beliau berkata, menerusi pasport Perancis yang digunakan untuk memasuki Malaysia, nama anak guamnya ialah Shalom Avitan, namun dalam kertas pertuduhan tertulis, Avitan Shalom.

“Saya mohon nama terbabit dipinda kerana mengikut bidang kuasa di negara ini, nama kita ditulis dengan kaedah nama sendiri disebut dahulu sementara nama keluarga, diletakkan di belakang.

“Di Malaysia, tiada nama bapa diletakkan di hadapan, jadi Avitan Shalom yang tertera dalam pertuduhan itu, boleh jadi orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meminda nama di kertas pertuduhan tersebut.

“Bagi saya, tiada isu yang perlu diketengahkan, kerana ia hanya membabitkan gaya penamaan dan diguna pakai di negara ini,” katanya.

Hakim kemudiannya mengambil maklum bantahan yang dibangkitkan pihak pembelaan dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara itu, di akhir perbicaran kes kelak.

Pada 12 April lalu, Shalom didakwa di atas tuduhan memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA 9 x 19, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain Mohamad Mustaffa, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik manakala pembelaan turut dihadiri peguam, Jeffrey Ooi.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *