BERITA UTAMA

Lima ADUN Bersatu di Perlis tandatangan ikrar kesetiaan

KANGAR – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU Perlis teguh menyatakan pendirian mereka untuk terus bersama parti itu dengan menandatangani ikrar kesetiaan melalui arahan bertulis yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Jumaat lalu.

Lima ADUN yang menandatangani arahan bertulis itu adalah ADUN Kuala Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah, timbalannya yang juga ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; ADUN Sena, Datin Marzita Mansor; ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.

Arahan bertulis itu dikeluarkan kepada semua wakil rakyat BERSATU sama ada Ahli Parlimen atau ADUN di seluruh negara yang perlu dijawab dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan parti itu termasuk enam Ahli Parlimen serta seorang ADUN parti itu yang mengambil pendirian mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti itu sebagai pembangkang di negara ini.

Abu Bakar berkata, tindakan yang dilakukan pihaknya itu sebagai mendukung dasar, matlamat dan hala tuju parti itu terutama dalam situasi politik semasa negara selain menunjukkan tiada lagi kemusykilan yang timbul kepada pengundi BERSATU atau Perikatan Nasional (PN) negeri itu berkenaan kesetiaan ADUN berkenaan terhdap parti, selepas ini.

“Ini (tandatangan surat) adalah akujanji taat setia kepada BERSATU dan menunjukkan bahawa pendirian BERSATU Perlis tidak pernah berubah dan sentiasa mengikut hala tuju apa yang dikehendaki pucuk pimpinan parti.

“Jadi dengan penjelasan ini, kami yakin bahawa ketujuh-tujuh Ahli Parlimen dan ADUN perlu menjawab surat berkenaan dan menyatakan kembali pendirian mereka sama seperti yang dilakukan oleh kami.

“Jika ingkar, keahlian dalam parti akan terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU,” katanya selepas mengetuai Majlis Menandatangani Arahan Bertulis yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengambil masa sedikit untuk mengeluarkan surat berkenaan dilihat sebagai tindakan parti untuk memastikan tiada ruang kepada Ahli Parlimen dan ADUN yang mengkhianati parti terlepas daripada tindakan.

“Saya lihat apabila kami (ADUN BERSATU Perlis) sudah menandatangani surat akujanji ini berdasarkan undang-undang yang diperuntukan parti, maka kesetiaan kita terhadap parti akan terus utuh.

“Malah, boleh lihat di sini, majlis ini turut dihadiri Ahli Jawatankuasa parti dan sayap dari ketiga-tiga bahagian, Padang Besar, Arau dan Kangar dan ia bukan hanya sekadar menandatangani surat ini saja tetapi menunjukkan kesatuan sebagai ahli parti yang tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan parti dan sahabat lain,” katanya.

Jumaat lalu, Hamzah berkata, semua wakil rakyat BERSATU termasuk enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah dengan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian mereka.

Katanya, sekiranya mereka gagal untuk membalas surat itu dalam tempoh yang ditetapkan, keahlian mereka dalam parti akan terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat akan tergugur.

Tujuh wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Arahan bertulis itu juga turut dihantar kepada semua wakil rakyat BERSATU yang lain dan kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka dalam parti itu terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BERSATU Perlis yang bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di DUN Titi Tinggi, Pauh, Tambun Tulang, Sena dan Kuala Perlis serta satu kerusi parlimen di Parlimen Kangar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *