BERITA UTAMA

Kerjasama Malaysia-Uzbekistan tawar potensi amat besar – Anwar

PUTRAJAYA – Kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan menawarkan potensi amat besar yang boleh mentransformasi dan memodenkan pembangunan ekonomi kedua-dua negara serta menarik pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata, Malaysia, sejak satu setengah tahun lepas dilihat sebagai hab semikonduktor mikrocip di rantau Asia Tenggara menerusi banyak pelaburan daripada syarikat asing utama.

“Keupayaan masa depan kita, kebolehan kita untuk membina kekuatan kita sendiri dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun…itulah kita Uzbekistan dan Malaysia,” kata Anwar dalam ucapan beliau pada Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, semalam.

Kira-kira 200 syarikat dari kedua-dua negara menghadiri forum perniagaan itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Anwar berkata, kedua-dua negara perlu fokus untuk menjalin kerjasama dalam bidang seperti transformasi digital, peralihan tenaga dan juga pembangunan halal.

Menurut beliau, selain menjalin perkongsian, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara juga meningkat dari tahun ke tahun.

“Kita kena tingkatkan kerjasama (antara kedua-dua negara). Kita boleh mempermudahkan proses (kemudahan menjalankan perniagaan),” kata Perdana Menteri.

Pada 2023, perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan berjumlah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) manakala import sebanyak RM1.99 juta (AS$414,518).

Anwar ketika ini berada di Uzbekistan bagi lawatan rasmi selama tiga hari yang bermula dengan ketibaan beliau di Tashkent, ibu kota negara itu pada Jumaat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia yang turut mengiringi Perdana Menteri. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *