Pengarang NasionalDaily Terima Anugerah Tokoh Wartawan Pendokong Perjuangan Antirasuah MCW 2026

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

NILAI – Komitmen berterusan dalam memperjuangkan agenda antirasuah menerusi penulisan kewartawanan membolehkan Pengarang Berita Portal NasionalDaily, Rudy Sham Abdul Raof menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Pendokong Perjuangan Antirasuah Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) 2026.

Anugerah itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negara yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Saryan sempena Mesyuarat Agung Tritahunan MCW Keempat yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai menghargai sumbangan wartawan yang konsisten mengangkat isu integriti, tadbir urus dan usaha memerangi rasuah menerusi laporan serta penulisan yang memberi kesedaran kepada masyarakat.

Selain Rudy Sham, lima lagi pengamal media daripada organisasi berita utama negara turut menerima pengiktirafan sama iaitu Pengarang Rencana Berita Harian, Mohd Anwar Patho Rahman; Pengarang Berita Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md. Denin; Pengarang Berita Kosmo!, Mohd Fahmi Ismail; Pengarang Rencana Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid; serta Pengarang Berita Malaysia Gazette, Mohd Khuzairi Ismail.

Semua tokoh ini menerima Sijil Penghargaan Khas serta Sayap Kebaktian MCW 2026 sebagai simbol penghormatan terhadap sumbangan mereka dalam menyokong usaha membudayakan integriti dan menolak amalan rasuah.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada wartawan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan agenda antirasuah serta membantu memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti dalam pentadbiran negara.

Menurut beliau, media memainkan peranan amat penting sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat, membina kefahaman masyarakat serta menyokong usaha memperkukuhkan institusi yang bertanggungjawab memerangi rasuah.

“Mereka menulis dan memberikan perhatian serius terhadap pembabitan MCW dalam memperjuangkan agenda sifar rasuah serta menjelaskan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara menyeluruh kepada masyarakat.

“Setiap penulisan dan penerbitan yang dihasilkan membantu memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. MCW sentiasa bergerak seiring dengan media dalam mengetengahkan isu-isu yang dapat memperkukuhkan kredibiliti institusi yang dipayungi SPRM,” katanya.

Beliau berkata, tanpa sokongan media, usaha MCW untuk memperluaskan kempen antirasuah kepada seluruh lapisan masyarakat akan menjadi lebih sukar.

“Media memainkan peranan yang begitu utuh dalam membantu MCW memerangi gejala rasuah. Tanpa mereka, amat sukar untuk kita menyampaikan mesej dan memperluaskan kempen antirasuah kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas mengenai peranan MCW, Jais berkata, sejak ditubuhkan pada 2017, pertubuhan itu tidak pernah berfungsi untuk mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi SPRM sebagai badan penguat kuasa utama dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi penting negara, SPRM sering berdepan pelbagai persepsi, kritikan dan tekanan daripada pelbagai pihak, justeru MCW mengambil pendekatan untuk memberikan sokongan secara profesional, berprinsip dan berasaskan fakta.

“Apabila MCW mempertahankan sesuatu tindakan SPRM, ia dilakukan selepas meneliti aspek perundangan, prosedur serta kepentingan institusi, bukannya atas dasar mempertahankan mana-mana individu.

“Pada masa sama, sekiranya terdapat kelemahan atau ruang untuk penambahbaikan, MCW tidak pernah teragak-agak mengemukakan pandangan, teguran dan cadangan secara konstruktif.

“Prinsip kami sejak awal penubuhan kekal sama iaitu mempertahankan institusi, menegakkan kebenaran dan memperkukuhkan integriti negara,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, institusi yang kukuh tidak dibina melalui pujian semata-mata, sebaliknya menerusi sokongan berprinsip, teguran membina serta keberanian mempertahankan kebenaran berlandaskan undang-undang.

Sementara itu, Rudy Sham ketika ditemui selepas majlis berkenaan melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan diterima dan menyifatkannya sebagai penghargaan kepada seluruh warga NasionalDaily yang sentiasa memberikan sokongan dalam menghasilkan laporan berkualiti berkaitan isu integriti dan antirasuah.

Beliau berkata, anugerah tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap dirinya sebagai wartawan, tetapi turut menjadi dorongan untuk terus menghasilkan penulisan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada usaha membina negara yang bebas daripada rasuah.

“Saya amat bersyukur kerana usaha kecil yang dilakukan melalui penulisan berkaitan antirasuah diberikan penghargaan oleh MCW. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh warga kerja NasionalDaily yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan sepanjang kerjaya saya.

“Setiap laporan dan penulisan yang dihasilkan adalah usaha bersama. Sokongan mereka banyak membantu saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya rasuah terhadap masa depan negara,” katanya.

Rudy Sham yang telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama lebih 30 tahun berkata, beliau akan terus menjadikan penulisan sebagai medium untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan integriti, tadbir urus yang baik dan penolakan terhadap budaya rasuah.

“Insya-Allah, saya akan terus berkarya dan menyumbang melalui dunia kewartawanan supaya generasi akan datang lebih memahami kemudaratan rasuah serta kepentingan memelihara integriti demi masa depan negara,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *