Kes buli UPNM: Keputusan siasatan dimuktamadkan Jumaat ini - Menteri

BN-PN Hanya Persefahaman Politik, bukan Gabungan – Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan satu bentuk gabungan politik, sebaliknya hanya persefahaman yang diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, persefahaman yang dicapai itu mempunyai skop terhad dan tidak boleh ditafsirkan sebagai pembentukan sebuah gabungan baharu, kerana kedua-dua parti masih mengekalkan identiti, dasar dan pendirian politik masing-masing.

Menurutnya, langkah tersebut dibuat atas pertimbangan tertentu pada PRN Negeri Sembilan dan tidak pernah dilaksanakan ketika PRN Johor sebelum ini.

“Ia satu persefahaman, bukan gabungan. Itu sangat-sangat berbeza. Persefahaman yang kita jayakan pada peringkat ini adalah supaya tidak berlaku pertembungan antara parti-parti yang terlibat.

“Atas sebab itu juga, parti-parti berkenaan masih boleh mempunyai pandangan yang berbeza dalam pelbagai isu. Tiada masalah kerana kita bukan bergabung. Jangan terkeliru dalam soal ini,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan persefahaman itu diperluaskan pada masa hadapan, Mohamed Khaled berkata, perkara tersebut masih terlalu awal untuk diputuskan dan bergantung kepada perkembangan politik semasa.

“Buat masa ini persefahaman itu berlaku dalam konteks PRN Negeri Sembilan. Sejauh mana dan ke mana ia akan pergi selepas ini, kita akan lihat. Masa akan menentukan,” katanya mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini berpandangan hubungan kerjasama antara BN dan PN berpotensi bertahan lebih lama susulan kerjasama kedua-dua pihak sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan disifatkan berjalan dengan baik.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan, persefahaman tersebut perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas, khususnya dalam usaha memperkukuhkan kestabilan politik dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurut beliau, usaha ke arah penyatuan itu mempunyai kepentingan besar kepada kestabilan negara dan tidak sepatutnya dipolemikkan atau dipandang serong oleh mana-mana pihak.

“Persefahaman ini mempunyai makna yang besar dari sudut kestabilan dan perpaduan orang Melayu.

“Perpecahan dalam kalangan bangsa majoriti boleh memberi kesan kepada perpaduan negara secara keseluruhannya. Sebab itu saya berpandangan usaha ke arah persefahaman tidak wajar dipertikaikan atau diperlekehkan,” katanya.

Beliau turut mengaitkan kepentingan perpaduan itu dengan tuntutan agama yang menggalakkan umat Islam bersatu serta mengelakkan perpecahan.

“Islam sendiri menyeru kepada perpaduan dalam kalangan umatnya. Kalau orang Melayu mempunyai penyatuan dan semangat perpaduan yang tinggi, apa masalahnya? Itu sesuatu yang baik untuk negara dan merupakan perkembangan yang positif,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled menolak sebarang kebimbangan bahawa persefahaman antara BN dan PN akan menjejaskan hubungan dengan masyarakat bukan Melayu.

Beliau menegaskan, UMNO dan BN sejak dahulu mengamalkan pendekatan politik sederhana yang menghormati kepelbagaian kaum serta agama, selain sentiasa mengiktiraf hakikat Malaysia dibina atas asas masyarakat majmuk.

Menurutnya, rekod pentadbiran BN selama beberapa dekad membuktikan gabungan itu sentiasa mengutamakan kestabilan, keharmonian serta kerjasama antara semua kaum.

“BN dengan segala pencapaian, pengalaman dan pendekatan sederhananya tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat lain.

“UMNO melalui BN sentiasa membawa bersama kaum-kaum lain dalam pentadbiran negara. Kita menerima hakikat Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhannya lagi UMNO tidak pernah mengamalkan dasar asimilasi yang memaksa sesuatu kaum meninggalkan identiti masing-masing.

“UMNO dari dahulu mengambil pendekatan menghormati kepelbagaian. Itulah asas yang kita pegang dalam mengurus negara. Kita tidak pernah mengamalkan pendekatan asimilasi. Sebaliknya, kita menerima kepelbagaian sebagai kekuatan negara,” katanya.

Kenyataan Mohamed Khaled hadir ketika kerjasama antara BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan terus menjadi perhatian pemerhati politik, khususnya selepas beberapa pemimpin kedua-dua gabungan memberikan pandangan positif terhadap bentuk persefahaman yang diwujudkan sepanjang kempen pilihan raya.

Walaupun terdapat spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama itu menjadi asas kepada hubungan politik yang lebih luas pada masa depan, kepimpinan UMNO setakat ini menegaskan bahawa persefahaman berkenaan hanya melibatkan pengaturan bagi mengelakkan pertembungan dalam PRN Negeri Sembilan dan tidak membawa maksud pembentukan gabungan politik baharu antara BN dan PN.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *