JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menegaskan pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan serta kritikan yang dikemukakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan tersebut, namun menegaskan isu itu perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan prinsip pentadbiran, keperluan semasa dan kedudukan undang-undang.
Beliau berkata, berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, pelantikan Timbalan MMK dibuat dalam ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan individu yang dilantik bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Timbalan EXCO tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri serta tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
“Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Onn Hafiz berkata, pelantikan itu tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri mahupun mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya.
Sebaliknya, kata beliau, pelantikan itu adalah mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, pelantikan itu juga bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan, sebaliknya bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Beliau berkata, keperluan memperkukuhkan kapasiti pentadbiran negeri menjadi semakin penting ketika Johor sedang memacu pelbagai agenda strategik, termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang 2030.
“Seiring perkembangan ini, kapasiti pentadbiran juga perlu diperkukuhkan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pelantikan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum melalui penggunaan aset serta kemudahan sedia ada kerajaan negeri.
Katanya, tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri.
Beliau turut menegaskan, Kerajaan Johor kekal komited mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab dengan setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L