PM yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji kepada umum

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Anwar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan, namun keputusan terbabit perlu dibuat mengikut prosedur melalui pertimbangan Jemaah Menteri pada Rabu ini.

“Orang cabar mengapa tidak zahirkan kepada awam (RCI TH), saya tiada keberatan, saya setuju tetapi ikut proses dan biar saya bawa kepada Jemaah Menteri hari Rabu ini serta saya percaya Jemaah Menteri akan setuju.

“Dulu kita minta tangguh laporan itu kerana TH menyatakan perlu masa untuk perbaiki, ada pengurusan baharu untuk baiki. Sekarang kita bersedia untuk dedahkan kepada awam,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, langkah menangguhkan pendedahan laporan berkenaan sebelum ini adalah kerana kerajaan tidak mahu keyakinan terhadap TH terjejas.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan kini sudah berbeza apabila institusi berkenaan berjaya dipulihkan dan menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud minggu lalu hantar teks kepada saya kata Tabung Haji mendapat pingat pengurusan terbaik antara semua syarikat haji dunia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu membuktikan institusi negara mampu dipulihkan melalui tadbir urus yang baik dan pengurusan berintegriti, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat.

Anwar sebelum ini berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilapor berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *