BERITA UTAMA

Biadab, pijak al-Quran bersumpah tidak curang

JAKARTA – Demi menafikan berlaku curang, seorang lelaki di Indonesia tergamak bersumpah sambil memijak kitab suci al-Quran.

Perbuatan biadab dilakukan ketua pihak berkuasa Lapangan Terbang Wilayah X Merauke, Asep Kosasih yang berdepan tuduhan menghina agama.

Media tempatan melaporkan aduan tersebut dibuat kepada polis terhadap Asep pada Rabu lalu selepas rakaman video memaparkan tindakan melampau itu menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, isterinya, Vany Kokasih berkata, dia bertindak sedemikian hanya kerana mahu membuktikan tidak berselingkuh dengan seorang doktor kecantikan.

“Hubungan terlarang itu sudah terjalin selama setahun sejak Mei 2023. Suami saya terus menafikan skandal tersebut sedangkan ada bukti gambar dan mesej dalam telefon,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian Asep memijak al-Quran berlaku pada Ogos 2023.

“Dia berada dalam keadaan sedar ketika melakukan perbuatan itu kerana kami baharu sahaja selesai menunaikan solat Subuh secara berjemaah pada masa itu,” jelasnya.

Difahamkan, suaminya turut berdepan satu lagi dakwaan iaitu melakukan keganasan rumah tangga.

Susulan kejadian itu, Direktorat Jeneral Pengangkutan Udara (Direktorat Jeneral Hubud) telah mengambil tindakan tegas dan Asep digantung tugas sementara. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *