Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dunia dalam IMD World Competitiveness Index 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ekonomi kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-23 yang dicatatkan negara pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan prestasi ekonomi yang semakin kukuh serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan berada pada landasan yang tepat.
Menurut beliau, kestabilan politik dan keyakinan pelabur turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks daya saing global berkenaan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha reformasi ekonomi, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia berada pada landasan yang tepat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, komuniti perniagaan dan semua pihak yang memainkan peranan dalam meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerja keras bersama serta komitmen pelbagai pihak dalam mengangkat kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang lebih kompetitif dan berdaya tahan.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama dan tekad untuk mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada kemakmuran yang dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat.
IMD World Competitiveness Index merupakan antara penanda aras antarabangsa yang menilai tahap daya saing sesebuah negara berdasarkan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan pembangunan infrastruktur.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L