Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) tidak terdesak untuk menamakan calon Menteri Besar semata-mata bagi memenuhi tuntutan pihak lawan, sebaliknya memberi keutamaan kepada proses membuat keputusan secara kolektif dan berlandaskan semangat muafakat dalam gabungan itu.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Nur Hafiz Roslan berkata, PH yang dianggotai Parti AMANAH, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengamalkan prinsip demokrasi serta saling menghormati antara rakan gabungan, berbeza dengan budaya politik yang didakwa mengamalkan konsep “abang besar”.
Menurut beliau, perkara yang lebih penting adalah memastikan calon Menteri Besar yang bakal dipilih mempunyai kewibawaan, berakhlak mulia, berhemah serta mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Johor memerlukan kepimpinan generasi baharu yang memahami nilai agama, profesionalisme serta membawa agenda perpaduan demi masa depan negeri ini, bukannya politik lapuk yang memainkan sentimen perkauman dan menyebarkan kebencian,” katanya dalam laman facebook miliknya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempersoalkan siapakah calon Menteri Besar PH sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Hafiz turut menegaskan bahawa individu yang bakal menerajui kerajaan negeri mestilah membawa suara dan aspirasi rakyat, bukannya mengutamakan agenda parti atau gimik politik semata-mata.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa BN sendiri pernah berdepan situasi serupa pada PRN Johor 2022 apabila pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat ketika negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19, selain berlaku perbincangan berhubung calon Menteri Besar selepas pilihan raya berlangsung.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk BN mempertikaikan proses yang sedang dilalui PH hari ini sedangkan mereka sendiri pernah berdepan keadaan yang sama,” katanya.
Menurut Hafiz, fokus utama rakyat ketika ini bukanlah soal individu semata-mata, sebaliknya parti yang mampu menawarkan kepimpinan berwibawa, komited membangunkan negeri serta memastikan pentadbiran yang stabil dan inklusif.
Beliau yakin rakyat Johor kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan akan memilih kepimpinan yang mampu membawa harapan baru serta masa depan yang lebih baik untuk negeri itu.
“Johor dan Malaysia memerlukan pemimpin yang bersedia berkhidmat kepada rakyat, berintegriti serta membawa budaya politik matang yang berpandangan jauh demi masa depan negeri dan negara,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L