BERITA UTAMA

SUKMA-21: Sarawak mahu cipta rekod untuk naik imej sebagai kuasa sukan

SIBU – Sarawak selaku tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 yang berlangsung bermula 17 Ogos ini, mahu mencipta rekod kejohanan untuk menaikkan imejnya sebagai kuasa sukan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata untuk membolehkan Sarawak mencipta rekod kejohanan, atlet-atlet yang bertanding perlu meraih sebanyak mungkin pingat emas.

Pada SUKMA edisi ke-20 di Kuala Lumpur pada tahun 2022, Sarawak menduduki tempat keempat daripada keseluruhan 15 kontingen yang mengambil bahagian, dengan pungutan 32 pingat emas, 43 pingat perak dan 52 pingat gangsa.

“Harapan terbesar kita untuk melihat kejayaan cemerlang atlet-atlet Sarawak dalam meraih seberapa banyak pingat emas dan akan mencipta rekod kejohanan, yang sudah pasti menaikkan imej Sarawak sebagai kuasa sukan di Malaysia.

“Saya dengan ini menggesa semua warga Sarawak di segenap pelosok negeri ini agar keluar meraikan temasya berprestij ini, dengan memberi sokongan padu dan semangat juang kepada atlet-atlet sarawak yang bertanding dalam apa jua arena sekalipun.

“Selain itu juga berilah sokongan sorak juga kepada atlet negeri-negeri lain yang turut bertanding,” katanya ketika berucap pada perasmian program Larian Baton sempena SUKMA ke-21 peringkat Bahagian Sibu, di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Sabtu.

Terdahulu larian membawa Baton SUKMA ke-21 bermula di Dataran Tun Tuanku Bujang, mengelilingi Bandar Sibu sejauh tiga kilometer dengan melibatkan penyertaan 650 orang.

Bahagian Sibu merupakan destinasi kelima untuk acara larian baton dan akan diteruskan ke bahagian lain sehingga ke Bahagian Kuching.

Tiang berkata penganjuran SUKMA edisi ke-21 di Sarawak pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjuran temasya tersebut, melibatkan 37 jenis sukan dengan 488 acara dipertandingkan mampu meninggalkan impak positif kepada perkembangan sukan negara.

Pada masa sama katanya, Sarawak juga mahu menjadikan penganjuran SUKMA edisi ke-21 sebagai yang terbaik pernah diadakan dan berjaya dengan cemerlang.

Tiang berkata dianggarkan lebih 12,000 atlet dan pegawai turut serta, manakala lebih 2,000 atlet dan pegawai bagi Para SUKMA mewakili 13 buah negeri, Wilayah Persekutuan dan negara Brunei akan mengambil bahagian.

Beliau berkata SUKMA ke-21 juga akan menyaksikan sembilan bahagian di Sarawak sebagai lokasi pertandingan, berbanding SUKMA pada tahun 2016 yang hanya melibatkan Bahagian Kuching, Sibu dan Miri.

Ini supaya atlet daripada negeri-negeri lain dapat menikmati kekayaan budaya berbilang kaum, keindahan alam semulajadi dan pembangunan pesat yang dialami Sarawak. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *