Hasrat Tengku Zafrul Bertanding di Selangor Cetus Spekulasi PRU16

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR –Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilihat berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam arena politik apabila secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkembangan itu mencetuskan perhatian pelbagai pihak memandangkan beliau kini merupakan antara tokoh berprofil tinggi dalam PKR yang sering dikaitkan dengan beberapa kawasan strategik di negeri berkenaan.

Menurut Tengku Zafrul, cadangan untuk bertanding telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti dan beliau kini menunggu keputusan muktamad daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tidak mendedahkan kawasan yang menjadi sasaran, penglibatan aktif beliau di beberapa kawasan termasuk Ampang dan Pandan sejak kebelakangan ini dilihat menguatkan spekulasi mengenai kemungkinan pencalonannya pada pilihan raya akan datang.

Nama Parlimen Pandan turut menjadi perhatian susulan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli daripada PKR yang membuka ruang kepada parti untuk mempertimbangkan calon baharu bagi kerusi berkenaan.

Dengan kedudukannya sebagai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang, Tengku Zafrul dilihat mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta latar belakang korporat yang kukuh.

Penganalisis politik berpandangan faktor tersebut berpotensi membantu PKR dan Pakatan Harapan menarik sokongan pengundi bandar serta golongan profesional yang menjadi antara kelompok penting dalam landskap politik Selangor.

Sekiranya pencalonan beliau menjadi kenyataan, PRU16 dijangka menyaksikan kemunculan Tengku Zafrul sebagai antara figura utama dalam barisan kepimpinan generasi baharu parti itu.

Bagi sesetengah pemerhati, langkah tersebut bukan sekadar melibatkan persiapan menghadapi pilihan raya, sebaliknya turut dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang dalam membentuk kepimpinan masa depan parti dan negara.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *