Single terbaru Aiman Sidek penghargaan sempena Hari Ibu

KUALA LUMPUR – Sebuah lagu ciptaan penuh komposer dan penyanyi, Aiman Sidek berjudul “Hadiah Tuhan Paling Jelita” telah dilancarkan semalam.

Diterbitkan 4U Entertainment, single terbaru itu merupakan dedikasi khas kepada semua yang bergelar ibu sempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad semalam oleh kebanyakan penduduk di seluruh dunia, termasuk masyarakat di Malaysia.

Aiman Sidek, penyanyi dan pencipta lagu ini berkata, “Hadiah Tuhan Paling Jelita” merupakan karya yang sangat bermakna baginya yang didedikasikan khas buat semua ibu yang telah bertarung nyawa melahirkan insan bernama anak ke dunia ini.

“Bukan itu sahaja, ibu, emak, mama atau apa sahaja panggilan kita kepada mereka, merupakan individu yang telah memberi didikan dan kasih sayang sejak dari kecil seharusnya perlu terus dihargai hingga akhir hayat kita.

“Lagu ini diinspirasikan ibu saya sendiri, Puan Rasmah Yusof, sosok yang tidak pernah putus mendoakan kami adik-beradik, selain sentiasa memberikan nasihat dan pedoman kepada kami dalam menyusuri hidup ini sehingga kini.

“Inilah anugerah dari Allah kepada kami, “Hadiah Tuhan Paling Jelita”,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Single terbaharu ini akan menjadi salah sebuah lagu yang bakal ditampilkan dalam album ketiga Aiman Sidek berjudul ‘Jiwa & Nyawa’, disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui Mycreative Ventures di bawah program Dana Kandungan Digital.

Album yang akan dilancarkan tahun ini, mengandungi 10 lagu, termasuk lagu yang pernah hits di media sosial, carta radio, saluran penstriman muzik seperti Cinta Sejati, Dirgantara (duet bersama Alin Sidek) serta lain-lain lagi.

“Hadiah Tuhan Paling Jelita” diharap dapat menyentuh hati pendengar, dalam terus menghargai seorang individu bergelar ibu, tidak kira yang masih ada ataupun telah pergi.

“Selamat Hari Ibu juga diucapkan kepada semua yang bergelar ibu di seluruh dunia,” menurut Penerbit Eksekutif 4U Entertainment, Meor Alfaizal dan Raja Azraff. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *