KUALA LUMPUR – Gejala rasuah yang semakin berleluasa sekarang ini hanya boleh ditangani dan dibanteras dengan kerajaan meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi.
Perkara itu dinyatakan, malah diulangi banyak kali oleh Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali sebagai cadangannya jika kerajaan benar-benar serius mahu membanterasnya, bukan sekadar cakap kosong untuk meraih populariti.
Menurutnya, sepanjang menjadi Ahli Parlimen dari penggal 1986, 1990 dan 2008, beliau tidak pernah berhenti bercakap mengenai isu rasuah dan memberikan banyak cadangan untuk menanganinya, tetapi tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
“Dari dulu lagi saya cadangkan, kalau betul nak tangani rasuah, kerajaan kena pinda Akta SPRM dan wujudkan satu badan siasatan baharu yang saya namakan Akta Sabotaj Ekonomi. Akta ini mempunyai persamaan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu tahanan tanpa bicara.
“Selasa lalu, saya terkejut apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan negara kehilangan sejumlah RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2023.
“Purata dalam setahun negara hilang kira-kira RM55 bilion. Masya-Allah, ini bukan angka yang kecil dan memang patutlah kerajaan gagal tangani kemiskinan kerana rasuah semakin berleluasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Menurut Dr. Ibrahim, beliau tidak yakin usaha kerajaan dan SPRM menangani gejala rasuah akan berjaya walaupun beriya-iya melancarkan pelan strategik menangani rasuah.
Katanya, rasuah di Malaysia sudah menjadi satu penyakit atau gejala yang memang tidak boleh dihapuskan, tetapi boleh mengurangkan kepada angka yang kecil, kalau strategi dan pelaksanaannya dilakukan dengan cara berkesan serta mempunyai instrumen undang-undang bagi tujuan itu.
“Sudah banyak kali kerajaan bercakap nak basmi rasuah. Pelbagai seminar, konvensyen diadakan, hasilnya tidak juga berjaya.
“Saya secara peribadi tidak menaruh apa-apa harapan, sebab instrumen yang berkesan tidak ada. Ia penyakit yang retorik, cakap kosong ibarat ayam berkokok hari tak siang.
“Di Jepun, kalau rakyat tahu pemimpinnya terlibat rasuah, mereka tidak akan diundi. Di China, jika didapati bersalah melakukan rasuah mereka dihukum mati dan di negara barat ada juga hukuman penjara seumur hidup,” katanya.
Namun, tegasnya di negara Asia termasuk Malaysia, perasuah diangkat sebagai pemimpin, dipuja, dirai dan disambut dengan kompang, walhal mereka adalah penyangak.
Kata beliau, cadangan yang dikemukakan itu telah diulang banyak kali, malah masih relevan kalau kerajaan serius mahu menanganinya.
“Buat masa ini saya tak yakin berjaya, kerana rasuah di negara ini berlaku dari atas sampai ke bawah. Dari rambut sampai ke hujung kaki.
“Macam mana kita boleh tangani rasuah kalau KP SPRM pun dipersoalkan integritinya? Dalam agensi pihak berkuasa pun boleh berlaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Gejala ini bukan saja berlaku dalam kalangan orang politik, tetapi turut melibatkan penjawat awam di semua peringkat. Begitu juga pemimpin dalam kerajaan, dari Perdana Menteri, timbalannya, Menteri dan timbalan menterinya, Menteri Besar, Exco sampai ke wakil rakyat,” ujar beliau.
Sebab itu, kata Dr. Ibrahim, ada desakan sebelum ini, perlunya ada pemisahan antara Pejabat Peguam Negara dengan pihak Pendakwaan kerana bagaimana mungkin rasuah boleh dihapuskan kalau agensi yang membuat siasatan, Peguam Negara yang memutuskan ada kes atau tidak.
Kata beliau, sepatutnya yang memutuskan ada kes atau tidak ialah badan kehakiman, bukan Pejabat Peguam Negara.
“Pejabat Peguam Negara hanya menyediakan maklumat persediaan pendakwaan sama ada wujud prima facie atau tidak dan terserah kepada pihak kehakiman untuk memutuskannya.
“Cuba tengok ahli politik yang baharu pegang jawatan sepenggal atau dua penggal, hidup mewah, kaya raya. Begitu juga kakitangan awam yang berjawatan tinggi selepas bersara kita tengok kehidupan mereka agak luar biasa,” katanya.
Beliau bagaimanapun, tidak menaruh harapan tinggi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dapat menangani gejala itu, kerana selepas satu setengah tahun memegang kuasa, tidak ada apa-apa yang dilakukan, melainkan bercakap mahu banteras rasuah.
“Yang rakyat tahu, dia lantik seorang pemimpin yang ada lebih 40 kes sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ada pula beberapa individu yang terlepas dari hukuman mahkamah.
“Yang ditekannya sekarang ialah nak siasat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anak-anaknya serta Tun Daim Zainuddin,” kata beliau. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252