BERITA UTAMA

Tanah milik keluarga Ammar Baharin diratifikasi semula – Amirudin

SHAH ALAM – Status tanah milik keluarga pelakon Ammar Baharin di Semenyih yang dipindah milik kepada orang lain tanpa pengetahuan telah diratifikasi semula, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kes seumpama itu direkodkan telah berlaku beberapa kali sebelum ini, antaranya disebabkan kaedah perekodan secara manual yang digunakan pihak berkaitan urusan tanah.

“Saya belum dapat laporan rasmi berhubung perkara itu tetapi berdasarkan maklumat yang saya dapat, tanah milik keluarga pelakon Ammar Baharin itu sudah diratifikasi kembali.

“Saya tegaskan bahawa ini bukan kes pertama kali dan kebanyakan kes yang berlaku adalah disebakan perekodan yang dibuat secara manual sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di sini hari ini.

Ammar Baharin sebelum ini dilaporkan menuntut penjelasan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain secara tidak sah.

Pelakon berkenaan turut mempersoalkan pihak yang meluluskan geran kedua untuk individu lain selain bayaran penjualan tanah itu diberi kepada siapa sedangkan cukai tanah dibayar oleh ibunya.

Amirudin berkata beliau yakin kes melibatkan keluarga pelakon terbabit dapat ditangani dengan baik dan pihaknya akan memaklumkan kepada Ammar Baharin berhubung status tanah itu yang telah diratifikasi kembali.

Menurutnya dalam tempoh 10 tahun beliau bergelar Exco hingga menjadi menteri besar, terdapat lebih lima kes yang serupa berlaku iaitu tanah yang sudah dimiliki secara sah, diberikan kepada orang lain.

Beliau berkata disebabkan isu pertukaran hak milik tanah yang berlaku itu kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian yang besar.

“… tetapi dengan sistem pemilikan e-tanah yang diguna pakai oleh kerajaan sekarang, kita percaya kes-kes seperti ini dapat dielakkan ataupun boleh ditangani di peringkat awal,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *