Tajuk Utama

    Perkampungan Sunnah, ucapan PM sangat luar biasa – Dr. Maza

    KUALA LUMPUR – Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di program Perkampungan Sunnah di Kangar, Perlis malam tadi sangat luar biasa.

    Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kehadiran khalayak juga sangat ramai berbanding tahun sebelumnya hingga sesak dan sukar bergerak.

    “Alhamdulillah, kehadiran ke Perkampungan Sunnah tahun ini sangat ramai. Rasanya, lebih ramai daripada tahun-tahun lepas sehingga sesak dan sukar mahu bergerak.

    “Dari awal Subuh Jumaat semalam sehingga hari ini dan akan berterusan sehingga malam esok.

    “Kehadiran Perdana Menteri semalam sangat dihargai. Ucapan beliau sangat luar biasa. Saya tidak fikir mana-mana pemimpin negara sebelum ini yang boleh bercakap seperti itu. Kami sangat berterima kasih kepada kehadiran dan keterbukaan beliau,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

    Menurutnya, jika dilihat di Perkampungan Sunnah yang berlangsung di Masjid Alwi, begitu ramai orang luar Perlis hadir.

    “Saya rasa Johor, Kelantan, Terengganu antara yang paling ramai. Lembah Klang jangan dipersoalkan lagi, mereka hampir menjadi majoriti pengunjung. Negeri lain seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak juga memenuhi ruang.

    “Demikianlah negara-negara Asean seperti Singapura yang mungkin hampir 300 hingga 500 dari negara berkenaan. Indonesia juga ramai, begitu juga Thailand. Negara-negara lain juga ramai yang turut hadir,” katanya.

    Dr. Mohd Asri berkata, suasana Perkampungan Sunnah benar-benar merentasi parti dan latar individu.

    Ujarnya, tokoh politik dari parti yang pelbagai dan golongan ustaz, artis, profesional, pentadbir awam, NGOs, ahli-ahli perniagaan dan ramai lagi hadir dengan semangat meninggikan dakwah sunnah.

    “Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Mungkin juga para pemfitnah dan pengutuk Perkampungan Sunnah sebelum ini dengan pelbagai tuduhan secara tidak langsung mempromosikan program ini.

    “Kita hanya bekerja, kepada Allah jua kita berdoa dan bertawakal. Perjuangan menuntut kita ikhlas dan sabar. Jika Allah kehendaki, apa hendak ditolak oleh sesetengah pihak, akan bergerak ke puncak dan di sanubari manusia ia bertapak. Kehendak Allah mengatasi segalanya,” kata beliau. – Nasionaldaily

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *