Tajuk Utama

    Faizal Azumu tak perlu meroyan, Anwar sudah terbukti PM prihatin – Faiz

    KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak perlu meroyan membuat komen kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai taktik memancing undi menjelang PRK Kuala Kubu Bharu.

    Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil menegaskan, penjawat awam adalah sektor penting pembangunan negara dan tidak perlu Timbalan Presiden Bersatu itu membuat tuduhan negatif menghina mereka yang selama ini telah berbakti kepada negara walaupun bekerja untuk 12 tahun tanpa sebarang kenaikan gaji.

    Beliau turut mengingatkan Ahmad Faizal, Perdana Menteri sekarang bukan seperti Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada Ogos 2020 berjanji bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dinaikkan sehingga RM1,000 tiga minggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

    “Namun, janji itu tidak pernah dikotakan dan akhirnya menjadi pembohongan kepada rakyat. Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu menunjukkan mereka sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, sekadar pandai menanam tebu di bibir.

    “Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini, sebenarnya susulan pengumuman Perdana Menteri ke-10 dalam Belanjawan 2024 pada Oktober 2023, di mana beliau berkata, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dimuktamadkan tahun ini.

    “Ketika itu, ADUN KKB, Lee Kee Hiong masih berkhidmat dan tiada siapa tahu PRK KKB akan diadakan tahun ini berikutan kematian Kee Hiong,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

    Justeru, kata Faiz, dakwaan Faizal bahawa kerajaan gopoh mengumumkan kenaikan gaji, sebagai tidak masuk akal kerana perkara itu telah dikaji berbulan lamanya.

    Kata beliau, kenaikan itu adalah sikap prihatin Perdana Menteri yang telah melaksanakan beberapa dasar baharu membela kebajikan rakyat.

    “Ironinya, Faizal pula berjanji andai kata PN kembali memerintah, mereka akan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30 peratus.

    “Untuk pengetahuan Faizal, kenaikan gaji penjawat awam diumumkan Anwar sudahpun meliputi kenaikan sehingga 40 peratus, terutama bagi pekerja berpendapatan rendah.

    “Secara totalnya, kenaikan ini melibatkan kos RM10 bilion bagi kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata, kalau PN mahu tambah lagi 30 peratus kenaikan gaji, kos kerajaan akan melonjak kepada berpuluh bilion ringgit, sekali gus menjadi beban kewangan yang terlalu besar.

    “Persoalannya, dari mana PN bercadang untuk menjana duit berpuluh bilion ringgit ini? Adakah dengan cara mencetak wang sepertimana idea “bernas” Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal?

    “Saya mencabar Faizal Azumu untuk menjelaskan perkara ini,” ujar Faiz. – Nasionaldaily

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *