Malaysia tegas ajak negara Arab, Islam bantera jenayah dilakukan Israel

RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta seluruh negara Arab dan Islam khususnya Arab Saudi senada serta tegas dalam menuntut keadilan kepada rakyat Palestin.

Katanya, negara berkenaan perlu memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.

Ujar beliau, di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan serta pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan.

“Saya sempat berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Kunjungan ini menutup lawatan saya ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak malam kelmarin.

Perbincangan kami menyentuh soal hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi serta isu serantau. Saya zahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan yang dipamerkan kerajaan Arab Saudi terkait urusan hal ehwal umat Islam, termasuk dalam konflik Palestin-Israel,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Anwar, dalam perjumpaan itu, beliau turut memaklumkan kesediaan Malaysia untuk bersama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa.

“Saya maklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan, termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China.

“Penghargaan turut saya berikan kepada kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini,” katanya.

Di akhir pertemuan itu, Anwar mengulangi jemputan kepada Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” kata Anwar. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *