KUALA KUBU BAHARU – Angkatan Muda Harapan berharap pengundi Hulu Selangor khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) memenangkan calon dari kerajaan perpaduan pada pilihanraya kecil (PRK) 11 Mei ini.
Ini kerana, kata Ketua Penerangannya, Ammar Atan, calon Pang Sock Tao satu-satunya akan menjadi perwakilan kerajaan Persekutuan di Hulu Selangor sekiranya menang nanti.
Kata beliau, kemenangan Pakatan Harapan (PH) sebagai wakil tunggal pada PRK KKB ini akan memberikan impak yang sangat signifikan demi mewujudkan semak dan imbang di kawasan Hulu Selangor.
“Hal ini perlu diberikan pendedahan kepada rakyat khususnya pengundi di Kuala Kubu Bharu pentingnya semak dan imbang dalam sesebuah pentadbiran.
“Demikian, isu rakyat dapat disuarakan secara telus dalam dewan rakyat (Parlimen) mahupun DUN demi kemaslahatan pengundi Kuala Kubu Bharu khususnya.
“Ayuh, kita tolak budaya politik lama yang menindas keperluan rakyat dan hanya mengutamakan “political interest” demi survival politik peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ammar berkata, ketulusan dan integriti seorang wakil rakyat adalah penting dalam menjaga kepentingan masyarakat.
Justeru, sangat wajar rakyat di DUN KKB turun mengundi pada 11 Mei ini supaya matlamat utama mewujudkan semak imbang di Hulu Selangor terhadap isu setempat dapat dicapai pada PRK kali ini.
“Pilihlah seorang calon wakil rakyat yang setia kepada kepentingan rakyat KKB serta seorang calon yang jujur dan berintegriti,” katanya. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252