KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara digesa memberikan penjelasan kepada umum berhubung perkembangan siasatan dakwaan penyelewengan pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid, berkata orang ramai masih menantikan maklumat rasmi mengenai hasil siasatan berkenaan, termasuk sama ada tindakan undang-undang akan diambil.
Menurutnya, penjelasan pihak berkuasa penting memandangkan dakwaan itu membabitkan nilai pelaburan yang besar dan berkaitan kepentingan awam.
“Sudah hampir sembilan bulan siasatan ke atas kes tersebut dijalankan dan kami mendengar pelbagai dakwaan oleh pelbagai pihak tetapi sehingga hari ini, pihak berkuasa seperti SPRM dan pejabat AG belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai tindakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima laporan daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri kanan.
Rafizi sebelum ini hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan berkaitan projek kerajaan.
Siasatan itu dilaporkan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi ketika diterajui Rafizi dengan syarikat teknologi semikonduktor dari United Kingdom, ARM Limited, menerusi perjanjian strategik bagi pembangunan industri semikonduktor negara.
Mengulas lanjut, Khairul Azam meminta SPRM dan Pejabat Peguam Negara memberikan perkembangan terkini supaya orang ramai mendapat gambaran jelas mengenai status kes berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau turut membangkitkan dakwaan yang dikaitkan dengan Rafizi berhubung apa yang disebut sebagai “mafia korporat”, sambil mempersoalkan perkembangan siasatan terhadap dakwaan yang turut membabitkan bekas menteri itu sendiri.
Bagaimanapun, dakwaan penyelewengan pelaburan berkenaan masih perlu dibezakan daripada sebarang keputusan pihak berkuasa atau mahkamah. Penjelasan rasmi SPRM dan Pejabat Peguam Negara diperlukan bagi menentukan status siasatan serta sama ada terdapat asas untuk tindakan lanjut.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
