MIRI – Polis memberkas seorang lelaki di sebuah rumah di Tudan di sini, petang semalam bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di tebing tasik di Senadin yang disyaki dibunuh.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an yang juga anak saudara kepada mangsa, ditangkap kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Hasil siasatan awal, katanya, motif pembunuhan kerana perselisihan faham iaitu tidak berpuas hati isu dalaman ahli keluarga mereka.
“Hubungan si mati dengan suspek adalah bapa saudara dan anak saudara.
“Kes ini diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Miri telah diperintahkan supaya direman tujuh hari sehingga 25 April ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, Alexson berkata, polis menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 9.03 pagi pada Rabu yang memaklumkan mengenai penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di tebing tasik berkenaan.
“Berikutan itu, sepasukan polis dari IPD Miri bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dijumpai dalam keadaan tertungkup di kawasan tebing tasik dan telah dibawa ke darat.
“Mangsa hanya berseluar dalam sahaja dan terdapat seluar pendek yang tersangkut pada pergelangan kaki.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan di bahagian kepala disyaki berpunca dari tetakan objek tajam, dua kesan tetakan pada tapak tangan kanan, satu kesan tetakan pada bahagian belakang badan dan satu kesan tetakan pada lutut sebelah kiri,” ujarnya.
Menurut Alexson, mangsa yang berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Alexson menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.
“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Anuar Affendi di talian 019-7319540 atau 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” ujarnya.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!