BERITA UTAMA

Benarkah SPRM siasat, tangkap ‘ikan bilis’, ‘ikan jerung’ selalu terlepas?

SPRM sering ditularkan dalam media sosial dikatakan banyak menyiasat dan menangkap suspek kes-kes jenayah rasuah melibatkan pegawai awam yang dimomokkan sebagai “ikan bilis” di kaca mata masyarakat.

Ada pula dalam kalangan mereka mengelarkan SPRM sebagai agensi tiada taring dan pengecut hanya berani menangkap ikan bilis sahaja. Persoalannya, sama ada ikan bilis atau ikan jerung, itu bukan isunya.

Orang awam sering membandingkan ikan bilis tersebut dengan ahli politik, anggota pentadbiran seperti Menteri atau Timbalan Menteri Kabinet atau Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau tokoh- tokoh korporat sebagai “ikan jerung”.

Perlu diingatkan, pegawai awam yang dikategorikan ikan bilis ini, adakalanya boleh mengatasi peranan ahli politik, Menteri Kabinet atau Exco atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan atau swasta berstatus ikan jerung.

Malah lebih bahaya lagi jika ada dalam kalangan pegawai awam ini, menjadi “macai” atau “balaci” iaitu sebagai orang tengah antara anggota pentadbiran seperti Menteri Kabinet, Exco atau ahli-ahli politik yang memegang jawatan pengerusi dalam agensi kerajaan atau GLC dengan syarikat atau kontraktor untuk mendapatkan habuan suapan rasuah dengan meluluskan lesen perkhidmatan, permit atau tender kerajaan secara rundingan terus atau tender tertutup.

Pegawai awam jenis ini selalunya akan mendapat habuan hasil jenayah rasuah daripada anggota pentadbiran tersebut dan dari pihak syarikat atau kontraktor terlibat.

Ada ketikanya mereka “lebih kaya” daripada seorang ahli politik atau anggota pentadbiran tersebut kerana dia banyak memainkan peranan dan mendapat habuan daripada ramai ahli politik atau anggota pentadbiran dan syarikat-syarikat terlibat.

Ramai dalam kalangan anggota masyarakat termasuk ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan tidak menyedari bahawa pegawai awam yang dikategorikan ikan bilis” juga boleh menjadi ikan jerung”.

Sebagai contoh, kes jenayah rasuah melibatkan pegawai awam berjawatan Penolong Setiausaha Bahagian Kewangan gred 41 sebuah kementerian yang terlibat dalam urusetia Jawatankuasa Tender menerima suapan rasuah daripada syarikat yang memasuki tawaran tender sebagai balasan membocorkan maklumat tender atau kes seorang Ketua Jabatan gred 52 sebuah agensi kerajaan telah meluluskan tender kepada syarikat yang dia ada kepentingan atau saham dalam syarikat tersebut.

Ada kes di mana pegawai awam ini boleh mengumpul hasil jenayah rasuah sehingga ratusan juta ringgit dalam bentuk wang tunai atau hartanah.

Sebagai contoh, kes melibatkan seorang ketua jabatan di negeri Sabah yang telah ditangkap oleh SPRM pada tahun 2016 dan didakwa di mahkamah kerana telah memperoleh hasil jenayah rasuah dan pengubahan wang haram hasil jenayah rasuah hampir mencecah seratus juta ringgit daripada kontraktor yang terlibat dalam projek infrastruktur di Sabah.

Begitu juga kes melibatkan pegawai dan anggota penguat kuasa undang-undang yang memperoleh suapan rasuah daripada penjenayah, tauke perjudian, sindiket pelacuran atau penyeludup barang terlarang dalam kegiatan-kegiatan haram seperti pelacuran, pengedaran dadah, perjudian, rumah urut haram, pemerdagangan manusia, kecurian pasir, salah guna permit kerja, dan penyeludupan barang terlarang.

Kes-kes ini adalah melibatkan peranan pegawai awam yang dikatakan oleh orang awam atau masyarakat sebagai “ikan bilis”. Mereka terlibat boleh mengumpul habuan rasuah sehingga berpuluh-puluh juta ringgit hasil kegiatan haram itu.

Masyarakat tidak sedar perbuatan perasuah “ikan bilis” ini, bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil kerajaan dan ketirisan perbelanjaan kerajaan sahaja tetapi perbuatan pegawai awam ini boleh memberikan kesan buruk kepada keselamatan nyawa, harta benda dan keselamatan negara.

SPRM tidak pernah memilih siapa pelaku jenayah rasuah itu tanpa mengira pangkat atau kedudukannya. Semuanya akan dilayan sama rata oleh SPRM kerana suapan rasuah tetap satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang.

Rekod SPRM telah membuktikan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, SPRM telah menyiasat dan menangkap pelbagai golongan sama ada “ikan bilis” atau “ikan jerung”. Perkara ini sering tersiar dalam media massa dan media sosial.

Sejak BPR ditubuhkan (sekarang dikenali SPRM), terdapat kes- kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam terdiri dalam kalangan individu atau ahli politik yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri, ahli politik parti pembangkang dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang pernah disiasat oleh BPR dan SPRM sehingga berakhir dengan pendakwaan, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Antaranya adalah;

1) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia (UMNO);

2) Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor (UMNO);

3) Datuk Dzulkifli Abdul Hamid, Menteri Kewangan Sabah (USNO);

4) Senator Ariffin Salleh, Ahli Dewan Negara;

5) Dr. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor (UMNO);

6) Datuk Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah (PBS);

7) Datuk Waad Mansor, Exco Negeri Sembilan (UMNO);

8) Datuk Muslim Othman, Exco Negeri Kedah (UMNO);

9) Datuk Azman Mahalan, Exco Negeri Perak (UMNO);

10) Datuk Shahar Arpan, Exco Negeri Melaka (UMNO);

11) Datuk Abdul Ghani Ishak, Exco Negeri Melaka (UMNO);

12) Loh Chee Heng, ADUN Telok Datok, Negeri Selangor (DAP);

13) Yap Soo Sun, ADUN Teratai, Negeri Selangor (GERAKAN);

14) Badarudin Ahmad, YDP Majlis Perbandaran Kangar, Perlis;

15) Mohd Firdaus Ramlan, Majistret Mahkamah Kuala Krai, Kelantan;

16) Lim Cheah Yit, Peguam Kanan Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang;

17) Hassan Basri Shafie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak; dan

18) Shahrunnazri Ab Samad, Ketua Pendakwaraya Syarie, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP).

Berasaskan senarai tersebut, ternyata sejak penubuhan BPR (sekarang SPRM), agensi antirasuah itu tidak berpihak kepada mana-mana ahli politik atau parti politik sama ada dari parti politik yang memerintah kerajaan atau parti pembangkang.

Apatah lagi terhadap mana-mana pegawai tinggi perkhidmatan awam. Jika masih ada dalam kalangan ahli politik atau orang awam khususnya media sosial menyatakan SPRM bias atau menuduh SPRM sebagai barua kepada pemimpin politik yang memerintah kerajaan. Hal ini adalah di luar kawalan SPRM dan mereka berniat jahat.

Hakikat sebenarnya SPRM akan bertindak ke atas sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan jenayah rasuah tanpa mengira seseorang itu, pemimpin parti politik kerajaan memerintah atau parti pembangkang, Perdana Menteri, Menteri Kabinet atau Exco.

Catatan sejarah negara telah membuktikan pada 23 Ogos 2022, Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atasnya kerana kesalahan jenayah rasuah dalam bentuk salah guna jawatan atau kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dana syarikat yang kerajaan mempunyai kepentingan iaitu Syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Keputusan ini juga menyaksikan Perdana Menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Di samping itu, ada beberapa kes berprofil tinggi berkaitan jenayah rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang hasil kegiatan haram melibatkan bekas Menteri Kabinet, Ahli Parlimen, pengerusi agensi badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli-ahli politik yang masih dalam siasatan SPRM, perbicaraan di mahkamah dan ada yang telah disabitkan hukuman oleh mahkamah tetapi masih menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Oleh demikian itu, semua pihak perlu akur, SPRM adalah agensi antirasuah yang bebas dan telus, menjalankan siasatan tanpa memilih bulu dan tidak membezakan antara semua pihak dalam menjalankan tugasnya.

Sekiranya seseorang itu disyaki melakukan kesalahan jenayah rasuah, SPRM akan mengambil tindakan menjalankan siasatan ke atas individu tanpa mengira pangkat atau kedudukan atau parti politik.

Masyarakat perlu sedar ada ketikanya kes “ikan bilis” ini memberi implikasi besar kepada ahli masyarakat yang menjadi mangsa perasuah. Sebagai contoh, kes seorang anggota penguat kuasa JPJ telah meminta dan menerima suapan rasuah RM100 daripada seorang pemandu teksi kerana kesalahan trafik sebagai balasan tidak mengeluarkan saman.

Kes ini nampak kecil di mata masyarakat, namun bagi pemandu teksi itu, jumlah tersebut (RM100) amat besar dan mungkin jumlah itu dapat digunakan oleh beliau untuk menampung perbelanjaan sara hidup keluarga untuk dua atau tiga hari.

Melanggar peraturan jalan raya mungkin sekadar dikenakan hukuman denda atau kompaun sahaja, tetapi melanggar undang-undang dengan mengambil suapan rasuah boleh ditangkap dan dihukum penjara dan denda oleh mahkamah.

Jika dia seorang pegawai awam, hukuman oleh mahkamah itu boleh menyebabkan dia diambil tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja oleh jabatannya

Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji. (Hadis Riwayat Ibnu Muslim dan Al-Bukhari). – ND

Sumber: Malaysia Corruption Watch (MCW)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *