KOTA BHARU – UMNO Kelantan memandang serius berkenaan dengan dokumen Afidavit Tambahan No. 3 yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, pihaknya memandang serius perakuan dalam Para 5 (b) menyatakan dengan jelas responden enggan melaksanakan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, yang bersetuju untuk pemohon (Datuk Seri Najib Abdul Razak) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada Tahanan Rumah, bukan secara pemenjaraan di Penjara Kajang seperti sekarang.
“Perkara ini sangat serius kerana responden akan dilihat mempermainkan Titah YDPA, sekali gus menunjukkan contoh tauladan yang tidak baik sebagai sebuah kerajaan kepada rakyat.
“Rakyat perlu tahu pendirian dan penjelasan kerajaan dari sudut undang-undang serta takrifnya supaya tiada lagi pertikaian oleh semua pihak,” katanya dipetik kenyataan menerusi hantaran Facebooknya.
Menurut Ahmad Jazlan, UMNO Kelantan kekal dengan pendirian Ahmad Zahid yang dengan seikhlasnya kekal memperjuangkan pembelaan sepenuhnya terhadap Najib.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataan ringkasnya berkata, beliau berdoa agar perkara berkaitan Tahanan Rumah untuk Najib berjaya.
“Bila saya selesai membaca Afidavit Tambahan No. 3 oleh TPM1, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang tersebar di media sosial, maka minda dan jiwa saya menerimanya dengan tenang, seumpama air di tasik yang tanpa adanya sebarang gelora ombak.
“Saya terus berdoa agar ianya akan berjaya,” katanya. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!