KUALA LUMPUR – “Tulus dan sejati, itulah yang mampu saya ungkapkan,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Beliau menyatakan demikian sebagai saksi pada petang terakhir Ramadan, 9 April 2024 ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menurunkan tandatangannya di atas afidavit untuk menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, Ahmad Zahid menandatangani afidavit berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mengenai tahanan rumah ke atas Najib selepas mendapat pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun.
Malah hari itu juga, kata Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik Ahmad Zahid, Timbalan Perdana Menteri itu baharu pulang ke tanah air dari menunaikan umrah di Tanah Suci tidak sampai 24 jam.
“Sekilas saja ingatan saya terus melayang tatkala Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 memerintahkan Najib dihantar ke Penjara Kajang masih terngiang nama Ahmad Zahid yang pertama keluar dari mulut Bossku.
“Ahmad Zahid yang terpempan di galeri awam mahkamah bingkas bangun mendapatkan Bossku. Genggamam erat tangan dua sahabat walaupun terlepas apabila Bossku diiringi untuk ke Penjara Kajang, namun tali persahabatan kedua mereka tidak putus.
“Sejak dari itu Ahmad Zahid tidak pernah berhenti melakukan usaha demi sahabatnya yang dipenjara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, walaupun ada yang cuba merekayasa kononnya Ahmad Zahid tidak berbuat apa dan cuba menangguk di air keroh kononnya mereka menjadi pembela Bossku, hakikatnya jasad yang berada di sebalik tirai besi itu tahu sahabatnya tidak pernah kenal erti jemu dalam mencari usaha mendapatkan pembelaan untuk dirinya.
Katanya, mengenali Ahmad Zahid, sedekah yang dihulur pun tidak pernah hendak dijaja, apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya, walau ada yang bertanya apa beliau buat utk membela Najib.
“Cukup untuk saya menyebut sebagai orang yang sering menjadi perantara dan sebagai seorang yang amat rapat dengan Najib serta keluarganya, tidak ada satu ruang perundangan mahupun rundingan yang dilepaskan oleh Ahmad Zahid untuk membela nasib Najib.
“Kemuncaknya, agenda pengampunan Najib diangkat ke Lembaga Pengampunan. Apakah pengampunan ini tiba-tiba dibawa dalam agenda tanpa sebarang usaha rundingan atau langkah langkah politik yang dibuat?
“Sudah tentu usaha ini bukan bertujuan untuk dijaja atau dijadikan drama, kerana bagi Ahmad Zahid setiap langkah yang diambil adalah atas keikhlasan dan kesetiaan,” ujar beliau.
Kata Megat Zulkarnain, setiap usaha dilakukan beliau tidak perlu dihebahkan.
“Bayangkan apabila beliau secara terbuka memaklumkan pernah mengadakan pertemuan dengan Najib di penjara semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023, semua serangan dan cercaan dilemparkan kepada beliau.
“Ketika itu kumpulan yang satu ketika pernah berada di Putrajaya memegang tampuk kuasa tidak berbunyi sepatah pun. Namun, mereka yang berkuasa semasa Najib dipenjara kini menjaja cerita kononnya Ahmad Zahid tidak berbuat apa.
“Ironinya, mereka ini tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang menyaksikan dalam beberapa siri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Ahmad Zahid memaklumkan usaha-usaha pembelaan untuk Najib tidak pernah bernoktah,” katanya.
Kata Megat Zulkarnain, dengan menandatangani afidavit menyokong petisyen Najib, beliau anggap itulah kemuncak usaha Ahmad Zahid demi sahabatnya.
“Mungkin ada suara sumbang yang mengatakan jika telah mengetahui wujudnya titah adendum pada 30 Januari lalu kenapa Ahmad Zahid berdiam diri? Walaupun ada yang bangkit di Parlimen meminta penjelasan benarkah wujudnya titah adendum, ia bukan bahan politik untuk meraih populariti.
“Ini bukan drama. Ini juga bukan cerpen yang boleh direka mengikut selera penulisnya. Sebaliknya ia menyangkut soal perundangan negara.
“Apabila sebagai orang yang mempunyai hak, Najib memfailkan petisyen, tanpa ragu dan dalam keadaan sedar risiko yang mungkin ada di hadapannya, Ahmad Zahid tampil mengikut lunas perundangan memfailkan afidavit kerana bagi beliau usahanya kini sampai ke kemuncak melalui proses perundangan untuk membela sahabatnya,” katanya.
Menurutnya, tumpah air matanya tatkala mengambil gambar itu pada petang terakhir Ramadan kerana di bulan penuh keberkatan, Ahmad Zahid menzahirkan sokongan untuk sahabatnya Najib dengan menandatangani afidavit yang bukan sahaja pembuktian usaha beliau membantu mantan Presiden UMNO itu, tetapi sebenarnya tindakan memuliakan serta menjunjung kasih atas titah adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!